Panasnya Hari Ini

Pengurusan Kes Isa Samad 30 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 30 Ogos depan untuk pengurusan kes membabitkan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang didakwa satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah lebih RM3 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan memohon diberi satu tarikh sebelum perbicaraan bagi membolehkan pertukaran kenyataan saksi dan sebagainya dibuat memetik laporan BHarian.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai, berkata baki tiga dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah sudah diserah kepada peguam bela yang mewakili Mohd Isa, 70.

“Pihak peguam menerimanya pagi tadi. Sekiranya diizinkan kami memohon satu lagi tarikh pengurusan kes iaitu dalam sebulan sebelum bicara supaya pihak pendakwaan dan pembelaan dapat membuat pertukaran kenyataan saksi dan sebagainya,” katanya.

Peguam bela, Ridha Abdah Subri, turut mengesahkan bahawa sudah menerima dokumen terbabit.

Pada 13 April lalu, mahkamah sama menetapkan 13 hari bermula 7 Oktober depan untuk perbicaraan kes Mohd Isa.

Mohd Nazlan menetapkan tarikh berkenaan selepas Mohd Isa mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan adalah 7 sehingga 9 Oktober dan bersambung 14 sehingga 25 Oktober.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu melakukan pecah amanah ke atas dana itu dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah FELDA.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah FELDA Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana Anggota Lembaga Pengarah FELDA memberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan membabitkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga Ke-10, Mohd Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai, yang kesemuanya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Anggota Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di tempat sama antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");