Berita Hari Ini

Kerajaan Perlu Berusaha Lebih Kuat Tunaikan Janji – Gobind

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berusaha lebih kuat lagi untuk menunaikan segala janji manifesto yang terkandung dalam Pilihan Raya Umum ke-14 selain memastikan taraf hidup rakyat ditingkatkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau bagaimanapun akur dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kesalahan, kerosakan dan perbuatan pentadbiran terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) menyukarkan kerajaan pada masa ini untuk memenuhi janji-janji seberapa segera yang mungkin.

“Apa yang disebut (Dr Mahathir) memang ada banyak kekangan kita hadapi, ini adalah perkara luar jangkaan kita apabila menjadi kerajaan.

“Yang penting kerajaan telah mencorakkan strategi bukan untuk setahun tetapi strategi lima tahun di mana kita ada mandat sebagai kerajaan negara ini,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perutusan perdana Dr Mahathir sempena satu tahun kerajaan PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyifatkan perutusan Perdana Menteri sebagai amanat yang ‘berterus-terang’ terhadap perkara yang telah dan belum dicapai dalam setahun pemerintahan kerajaan PH.

Katanya, kejayaan terbesar PH dapat dilihat menerusi usaha berterusan memerangi rasuah serta meletakkan semula institusi awam ke tahap yang terpenting.

“Dalam aspek ekonomi pula, lebih banyak yang telah digunakan dalam setahun untuk menampung kerugian atau penyelewengan terdahulu. Untuk tahun kedua Insyaallah ekonomi dapat dipacu dengan lebih baik lagi,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula merumuskan ucapan Perdana Menteri sebagai definisi tentang Malaysia Baharu yang telah menjadi perbincangan semenjak setahun yang lepas.

“Dan hari ini Perdana Menteri secara tegas memberikan definisi mengenai Malaysia Baharu di mana ia adalah sebuah pentadbiran kerajaan baharu yang berteraskan kepada prinsip akauntabiliti dan “people’s oriented”.

“Dengan dua teras ini, pentadbiran baru yakin dapat memulihkan semula ekonomi negara dan dapat memberikan satu tenaga baru supaya Malaysia bangkit semula sebagai harimau Asia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata tujuh teras strategik bagi matlamat ‘Kemakmuran Bersama’ yang diumumkan Perdana Menteri adalah bukti kerajaan PH berusaha menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.

“Yang mustahak dalam ucapan Perdana Menteri (Dr Mahathir), kita (kerajaan) telah menggariskan satu wawasan (Kemakmuran Bersama) yang dari satu seginya mengisi Wawasan 2020 dan dari segi lainnya menyambungnya.

“Kemakmuran Bersama menerusi tujuh teras itu bermaksud kita dalam tempoh setahun PH mentadbir sambil bermuhasabah dan merencana masa hadapan (negara) yang lebih baik,” katanya.

Dr Mahathir dalam ucapannya menggariskan tujuh teras berkenaan untuk memastikan matlamat itu dapat dicapai.

Tujuh teras itu adalah penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan serta industri negara, sektor pertumbuhan baharu, reformasi bakat dan sumber tenaga negara dan memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.

Memperkukuhkan kesejahteraan sosial, pembangunan wilayah yang inklusif dan peningkatan modal sosial masyarakat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata menerusi perutusan itu, Kementerian Kesihatan akan memberikan lebih penekanan terhadap aspek kesihatan golongan B40 seiring dengan matlamat Kemakmuran Bersama.

“Kita akan tekankan aspek penyampaian penjagaan kesihatan dan fasiliti kesihatan,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");