Perak Hari Ini

Lapangan Terbang Pangkor Akan Beroperasi Semula 1 Oktober

MANJUNG: Lapangan Terbang Pangkor akan beroperasi semula pada 1 Oktober ini dengan perkhidmatan penerbangan domestik secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), dekat Subang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata bagi penerbangan komersial, ia akan menggunakan pesawat jenis Twin Otter yang mampu memuatkan 19 penumpang selain dikendalikan syarikat penerbangan SKS Airways Sdn Bhd.

Katanya sebagai permulaan, syarikat tersebut akan menyediakan perkhidmatan secara harian iaitu satu kali penerbangan pergi dan balik dari LTSAAS ke Pulau Pangkor dan penerbangan dua kali sehari pergi dan balik dari LTSAAS ke Lapangan Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.

Ujar Kar Hing, dengan adanya laluan udara tersebut ia bakal menjadikan perjalanan pengunjung ke Pulau Pangkor hanya mengambil masa sekitar satu jam sementara 15 minit bagi perjalanan Subang-Ipoh.

“Panjang landasan di Lapangan Terbang Pangkor adalah 732 meter. Jadi, ia memang sesuai untuk penggunaan pesawat Twin Otter yang boleh memuatkan 19 penumpang.

“Sekiranya kita mencapai perkembangan yang baik, kerajaan negeri tidak akan menolak untuk menambah lagi jumlah penerbangan ke sini,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Pulau Pangkor, di sini, hari ini.

Difahamkan, SKS Airways Sdn Bhd yang berpangkalan di Johor Bahru turut mempunyai hab penerbangan lain antaranya di Subang dan Langkawi.

Lapangan Terbang Pangkor dibina pada 1993 dan kali terakhir penerbangan beroperasi adalah pada Februari 2014 sebelum digunakan bagi tujuan pesawat persendirian.

Sementara itu Kar Hing berkata, keputusan untuk menghidupkan kembali lapangan terbang tersebut adalah selaras dengan pengiktirafan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari tahun hadapan.

“Kita mahu memulakan operasi penerbangan dahulu supaya usaha mempromosikan Pulau Pangkor dapat dilakukan lebih awal.

“Kerajaan negeri amat berterima kasih dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan SKS Airways yang memberi kerjasama hingga menjadikan perkhidmatan penerbangan ini dapat direalisasikan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, lawatan yang dilakukan ke Lapangan Terbang Pangkor mendapati, kemudahan di situ serba lengkap dan masih berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri akan meneliti beberapa keperluan lain antaranya kelengkapan perabot, landasan yang perlu dicat semula serta tenaga kerja pengurusan.

“Buat masa ini ada tiga pekerja tetapi dengan pembukaan lapangan terbang nanti, kita memerlukan sekurang-kurangnya tujuh orang kakitangan.

“Jadi dalam tempoh tiga ke empat bulan ini, kita akan mempercepatkan apa juga proses bagi menambah baik kekurangan supaya pada 1 Oktober nanti, lapangan terbang berada dalam keadaan siap untuk digunakan,” jelasnya.

Dalam pada itu ujarnya matlamat kerajaan negeri bukan hanya sekadar mahu mengadakan penerbangan sahaja, tetapi untuk membawa limpahan ekonomi yang dapat dirasai seluruh penduduk dalam daerah Manjung.

“Perbincangan bersama pemain industri pelancongan tetap akan berjalan dan kita mahu impak perkhidmatan penerbangan serta kerancakan pulau bebas cukai mampu memberi kesan positif kepada pengusaha makanan, hotel, bot dan sebagainya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");