Membawang Hari Ini

Leina Hangat Tidak Bersara

PENYANYI yang tidak pernah lekang dengan pelbagai kontroversi sekitar lewat 1990-an, Leina Hangat, 46, masih aktif bergelar penghibur walaupun sudah sedekad mengenakan tudung.

Bagaimanapun, setiap undangan persembahan ada syarat yang ditetapkannya supaya reputasi dan penampilannya yang lebih Muslimah pada masa ini dijaga.

“Saya akan pastikan lokasi acara bersesuaian. Contohnya bukan dilakukan di pusat hiburan dan tiada alkohol dihidangkan dalam acara itu.

“Jika dua elemen itu ada, saya akan tolak tawaran itu dengan baik dan jelaskan kepada penganjur mengapa saya terpaksa tolak.

“Waktu persembahan pula selepas jam 10 malam iaitu selepas selesai waktu solat wajib supaya tidak terkejar-kejar pula nanti,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Ceria Dalam Gundah dan Gara-Gara ini berkata, istilah bersara dalam dunia hiburan tidak pernah wujud.

“Saya masih menyanyi cuma tidak lagi aktif seperti dulu. Andai ada majlis yang sesuai dengan imej, saya akan pertimbangkan.

“Saya bukan sekadar penyanyi tapi meletakkan diri sebagai penghibur. Genre lagu saya tetap sama iaitu lagu rancak yang perlukan pergerakan dan menari di pentas,” katanya.

Sebagai penghibur, dia tidak beranggapan sekadar jadi penyanyi majlis makan malam dengan memilih lagu yang mendayu-dayu saja.

Katanya, ada kala ketika persembahan terlepas juga gaya ‘gila-gila’ yang sudah sebati sejak dulu.

“Siapa yang pernah melihat saya beraksi di pentas, tahulah saya ligat macam mana. Tapi dalam berhati -hati dengan imej sekarang, terlepas juga perangai lama.

“Saya jadikan perkara itu sebagai elemen gurauan supaya peminat tidak perasan,” katanya tidak mahu terlalu hipokrit dan lebih selesa menjadi diri sendiri.

Katanya, sejak perkahwinan pertama dulu ketika menetap di Singapura, dia tetap berulang-alik ke Kuala Lumpur memenuhi undangan.

“Saya bangga menjadi penyanyi kerana inilah punca rezeki. Ini kemahuan saya,” katanya.

Leina turut meluahkan impian mahu kembali dengan lagu terbaru sebagai melepaskan rindu yang terbuku selepas kali terakhir muncul dalam album kompilasi awal 2000.

Katanya, kadang-kadang dia rasa seolah-olah mahu ‘busking’ di tepi jalan untuk melepaskan rindu menyanyi.

Katanya, jika impian itu terlaksana, dia mahu bekerjasama dengan komposer Azam Dungun.

“Saya sudah serasi dengannya ketika beberapa album dulu. Walaupun dia sibuk sebagai pensyarah, saya pasti dia akan terbuka hati mahu kembali bekerjasama menghasilkan lagu untuk saya,” katanya.

Leina pernah menghasilkan enam album termasuk satu album dalam bahasa Tamil -METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");