Panasnya Hari Ini

Menantu Hadi Dedah Lima Pemimpin PAS Terbabit ‘Kartel Dedak’

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad, mendedahkan lima pemimpin dalam PAS yang terbabit dengan ‘kartel dedak’ berhubung penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Namun, lima nama pemimpin berkenaan tidak dinyatakan dengan jelas oleh Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebaliknya diletakkan mengikut singkatan nama pemimpin berkenaan.

Berdasarkan senarai lima pemimpin terbabit, beliau mendakwa kartel dedak itu diketuai pemimpin parti yang beliau gelarkan sebagai Dr Hussam II (kepala no 1) yang dibayangkan sebagai pemimpin licik.

Pada senarai kedua dinamakan sebagai Mr NT, ketiga Mr KT, keempat Mr KH dan kelima ‘semua dah tahu’.

Beliau mendakwa pemimpin nombor satu itu juga rapat dengan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pernah mendapatkan bantuan daripada pemimpin berkenaan.

“(Dalam) ramai-ramai ni, nombor satu itu saja saya fokus. Sebab yang dia buat Mr2 sampai Mr5 tak tahu pun. Dia maha licik. Sapu kiri kanan..,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di akaun laman Facebook beliau di sini, hari ini.

Kenyataannya itu sebagai reaksi kepada kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan yang mahu memanggil beliau berhubung isu kartel dedak.

Semalam, Takiyuddin berkata, PAS akan memanggil Zaharudin untuk mendapatkan penjelasan berhubung tulisan di laman sosial Facebooknya.

“Saya akan dapatkan laporan daripada dia (Zaharudin). Kita tak boleh nak berdasarkan media sosial saja. Jadi kita akan panggil dia untuk dapatkan penjelasan,” katanya.

Menjelaskan mengenai pendedahannya itu, Zaharudin berkata, beliau tidak berminat untuk menyebut dengan jelas nama pemimpin berkenaan tetapi akan menjelaskan sifat kepemimpinan yang perlu dihindari.

Katanya, ramai pemimpin di peringkat akar umbi menjadi ‘runner’ tapi mereka tidak bersalah kerana tidak tahu mengenai perkara itu.

Beliau menjelaskan pendedahannya itu bagi menyelamatkan pemimpin dan parti daripada terus terpalit dengan kes tidak amanah dan tidak berintegriti.

“Misi saya mudah, dedah kartel dedak selamatkan pimpinan dan parti daripada terpalit imej bohong dan dedak (tidak amanah dan berintegriti),” katanya.

Mengenai sama ada PAS sudah memanggil beliau, katanya, PAS belum lagi memanggilnya secara rasmi berhubung tulisan mengenai “kartel dedak” itu.

“Alhamdulillah. Tapi rasminya belum terima. Masa kes Nurul (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff) dulu berita tersebar kata nak panggil juga, saya yang lebih-lebih tanya bila nak panggil dan bertemu. Sampai ‘last’ memang tak ada pertemuan.

“Mungkin waktu itu pimpinan sibuk sebab nak hadapi Pilihan Raya Umum (PRU). Dato Taqi (Datuk Takiyuddin Hassan) dan semua pimpinan PAS terbaik. Yang nila perosaknya ialah kartel dedak yang hanya satu kepala daripada lima bos. Seorang saja daripada satu juta ahli.

“Semoga Allah berikan kekuatan kepada jemaah luar dan dalam. Dan kekuatan kepada saya untuk hadapi mungkar kali kedua dalam sejarah parti,” katanya.

Sebelum ini, Nurul Islam yang juga Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS, mendakwa Presiden PAS dan Majlis Syura PAS mengizinkan untuk mengambil wang daripada UMNO.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");