Panasnya Hari Ini

PUTRA Sasar Tawan Selangor, Perak PRU-15

KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), semalam akan menumpukan kepada dua negeri iaitu Perak dan Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Memetik laporan BH Online, Pengerusi penaja dan pengasas parti, Datuk Ibrahim Ali, berkata Selangor menjadi tumpuan kerana negeri itu sudah lama diperintah Pakatan Harapan (PH) atau sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) dan majoriti rakyatnya mahukan kerajaan baharu.

Katanya, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO gagal menawan semula negeri itu sejak jatuh ke tangan PR dan PH pada 2008 dan kini tiba masanya PUTRA pula berhadapan gabungan parti kerajaan itu dan tidak mustahil boleh mencipta kejutan untuk menawannya.

Beliau berkata, bagi Perak pula, pengundi Islam khususnya Melayu dan Bumiputera lain semakin hilang kepercayaan kepada PH, BN dan UMNO dan mereka mahukan parti alternatif baharu dan paling sesuai ialah PUTRA.

“Bagi Pulau Pinang, agak sukar bagi kita menawan negeri berkenaan, manakala negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor peluang memang ada dan kita akan bekerja keras untuk merangka strategi padu menawan negeri berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengumumkan ROS sudah meluluskan pendaftaran partinya yang ditandatangani Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan Pertubuhan 1984.

Antara pemimpin kanan parti itu ialah bekas EXCO kerajaan Perak yang juga bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Hamidah Osman.

Ibrahim berkata, mesyuarat jawatankuasa penaja pertama parti itu akan diadakan di ibu negara pada 22 Mei ini dan ketika itu parti akan menerima borang permohonan keahlian dari seluruh negara.

Katanya, walaupun parti itu mengutamakan keahlian daripada masyarakat Melayu, Islam dan Bumiputera lain, namun partinya membuka keahlian kepada kaum lain mengikut perlembagaan parti dan menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai dakwaan pihak tertentu parti itu memecahbelahkan pengundi beragama Islam, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata dakwaan itu tidak benar kerana parti itu adalah pilihan pengundi yang menolak BN atau PH dan berada di atas pagar.

“PUTRA juga akan melihat kemungkinan akan bekerjasama dengan mana-mana blok parti pembangkang atau gabungan parti kerajaan kecuali DAP.

“Cabaran kami ketika ini adalah kewangan dan kami sedia menerima sumbangan daripada mana-mana pihak asalkan daripada sumber halal dan dibenarkan undang-undang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");