Berita Hari Ini

Penganjur Himpunan Beri Keterangan 17 Mei Ini

KUALA LUMPUR: Polis meminta penganjur Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada 17 Mei ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata lima individu yang juga penganjur himpunan itu dipanggil bagi tujuan siasatan berhubung himpunan berkenaan yang diadakan di ibu negara, Sabtu lalu.

“Setakat ini, seramai 11 individu terdiri daripada pihak pengadu serta saksi sudah selesai direkod keterangan.

“Polis akan siasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Sabtu lalu, media melaporkan polis mengesahkan penganjur himpunan itu tidak menyertakan notis kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah, dilaporkan berkata, pihaknya ada menerima notis pemberitahuan dan mengadakan pertemuan dengan penganjur.

“Bagaimanapun setakat ini, penganjur tidak sertakan bersama notis kebenaran daripada DBKL, jadi ia (notis) dianggap tidak lengkap,” katanya.

Himpunan bermula dengan peserta berkumpul di Masjid Jamek, Jalan Tun Perak, pada jam 2 petang sebelum berarak ke hadapan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman, dan himpunan itu berakhir jam 3.30 petang akibat hujan lebat.

Ia turut disertai Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");