Perak Hari Ini

Roboh Sekatan Kampung Asli Tasik Cunex Bukan Perbuatan Buli Terhadap Komuniti Orang Asli

IPOH- Setelah diteliti dari semua sudut pandang, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan tindakan penguatkuasaan untuk merobohkan sekatan atau blokade yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan negeri di Kampung Tasik Cunex, Gerik.

Menurut satu kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, operasi tersebut telah dijalankan pada pagi hari ini dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, pembukaan sekatan (blockeade) sepatutnya dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah pada 23 April, namun kerja-kerja pembukaan telah dilakukan oleh syarikat pembalakan tanpa melibatkan mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan.

“Disebebkan perkara itu, penduduk kampung Tasik Asal Cunex telah membuat bantahan dan cuba menghalang lori daripada mengeluarkan hasil balak pada 23 April lalu dengan membuat perisai manusia.

“Isu ini telah disensasikan oleh NGO tertentu yang mendakwa ia sebagai perbuatan buli pembalak ke atas komuniti Orang Asli malah laporan polis berasingan telah dibuat oleh wakil penduduk dan wakil syarikat pembalakan susulan daripada insiden berkenaan.

“Pada peringkat awal, bagi tujuan mengelakkan konfrantasi dengan penduduk, pihak syarikat pembalak cuba menggunakan laluan alternatif bagi mengeluarkan kayu balak yang telah ditebang, tetapi telah dihalang oleh penduduk Kampung Tasik Cunex,” katanya

Tambah beliau, satu surat pemberitahuan pembukaan sekatan laluan pembalakan juga telah dikeluarkan kepada penduduk kampung Tasik Asal Cunex pada 3 April.

“Surat ini dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gerik dan memaklumkan bahawa sekatan laluan pembalakan ini telah didirikan diatas tanah Kerajaan Negeri Perak dan telah melakukan kesalahan mengikut seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menduduki, atau membina apa-apa bangunan diatas,mana-mana tanah,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Waytha Moorthy telah mengadakan satu lawatan ke Kampung Cunex bagi membincangkan satu penyelesaian mengenai bantahan dari penduduk tentang aktiviti pembalakan dikawasan tersebut.

“Bantahan tersebut telah diterima dan diteliti oleh kerajaan negeri melalui pihak JAKOA, Jabatan Perhutanan Negeri, Pejabat Daerah Gerik dan pihak- pihak berkaitan daripada penduduk Kampung Sungai Urat dan Kampung Sungai Tengah.

“Perbincangan bersama telah dibuat namun, wujud satu dakwaan oleh pihak Orang Asli dimana mereka telah diugut dengan senjata ketika mengiringi syarikat pembalak untuk menghantar bekalan makanan kepada para pekerja di tapak pembalakan pada bulan Mac.

“Setelah diteliti dan disiasat, hal tersebut menunjukkan pihak berkuasa hanya membawa senjata bagi tujuan keselamatan dan tidak sama sekali berlaku sebarang ugutan terhadap penduduk malahan dakwaan tersebut disifatkan sebagai satu tuduhan yang tidak berasas,” katanya.

Dalam pada itu kata Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga ingin menafikan bahawa aktiviti pembalakan di kawasan itu dijalankan secara “cuci mangkuk’.

“Aktiviti pembalakan yang diluluskan dijalankan secara lestari, di mana hanya pokok-pokok yang mengikut piawaian dibenarkan ditebang melalui kaedah ‘tagging’.

“Kerajaan negeri secara konsisten memastikan urusan pembalakan tidak melebihi Catuan Pembalakan Tahunan iaitu 7,744 hektar setiap tahun, seperti yang dikehendaki oleh Majlis Tanah Negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");