Berita Hari Ini

TPM Ketuai Delegasi Malaysia Ke GPDRR Di Geneva

GENEVA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai delegasi Malaysia ke edisi keenam Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Geneva, Switzerland, bermula hari ini hingga 16 Mei.

Wakil Tetap Malaysia di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Amran Mohamed Zin, berkata Timbalan Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada dua sesi utama persidangan itu di Pusat Persidangan Antarabangsa Geneva (CICG).

“Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri majlis pembukaan GPDRR dan sesi pleno sejurus selepas itu, dengan beliau menjadi pemimpin pertama menyampaikan ucapan rasmi negara pada sesi berkenaan.

“Pada sebelah petang, Timbalan Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada sesi khas GPDRR bertemakan ‘Women Leadership in Disaster Risk Reduction (DRR),” katanya kepada media Malaysia mengenai lawatan Dr Wan Azizah itu, di sini, semalam.

Dr Wan Azizah juga dijadualkan menyertai sesi meja bulat peringkat menteri pada Khamis ini di mana beliau akan menyampaikan ucapan relevan dengan tajuk sesi berkenaan, iaitu ‘Risk-Informed Investment and Economics of DRR’.

Amran berkata, penyertaan Timbalan Perdana Menteri pada persidangan itu amat signifikan, bertepatan kepentingan dasar dan pendekatan proaktif kerajaan baharu Malaysia terhadap isu berkaitan pengurangan risiko serta pengurusan bencana.

GPDRR adalah acara dwitahunan diselaraskan United Nations Office for Disaster Risk Reduction, dan forum paling utama pada peringkat antarabangsa untuk perkongsian strategik, koordinasi, pembangunan perkongsian serta semakan pembangunan pelaksanaan instrumen pengurusan risiko bencana.

Tema GPDRR kali ini ialah ‘Resilience Dividend: Towards Sustainable and Inclusive Societies’ dan antara isu utama akan dibincangkan ialah pengurangan risiko bencana yang saling berkaitan dengan agenda pembangunan global, pelaburan dalam pengurangan risiko bencana, pemulihan dan pembangunan semula yang lebih baik, serta status pembangunan dan pelaksanaan strategik DRR.

Amran berkata, jadual padat Timbalan Perdana Menteri diisi pelbagai program bermula pada hari ketibaannya di sini, hari ini, di mana beliau akan menerima kunjungan hormat Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC), Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Pada hari sama, Dr Wan Azizah juga akan menghadiri sesi iftar dan dialog bersama rakyat Malaysia di Geneva.

Sementara itu pada esok, Dr Wan Azizah akan mengadakan pertemuan dua hala bersama Naib Presiden Indonesia, Mohamed Jusuf Kalla, yang turut menyertai GPDRR untuk membincangkan perkara berkepentingan bersama Malaysia-Indonesia.

Beliau kemudian akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi, dan disusuli sesi taklimat di ibu pejabat UNHCR, di sini.

Dr Wan Azizah juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil khas Setiausaha Agung PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana, Mami Mizutori.

Timbalan Perdana Menteri turut dijadual mengadakan lawatan ke Pusat Kebudayaan Islam Geneva dan akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan pusat Islam itu.

“Dr Wan Azizah akan berlepas pulang ke Malaysia pada 16 Mei selepas selesai menghadiri sesi meja bulat peringkat menteri,” katanya. – BERNAMA

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");