Berita Hari Ini

PAS Larang Ahli Bincang Isu Parti Di Media

KUALA LUMPUR: PAS mewartakan perintah larangan terhadap ahlinya supaya tidak membawa, membincang dan membahaskan sebarang isu membabitkan urusan parti dalam semua bentuk media, berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika memaklumkan perintah itu mengingatkan ahlinya bahawa sebarang pandangan, pendapat, cadangan atau kritikan mesti disuarakan melalui saluran parti di pelbagai peringkat.

“Larangan ini terpakai kepada semua bentuk media, sama ada media cetak, elektronik, media sosial dan sebarang siaran luar yang bukan daripada saluran parti.

“Ini adalah disiplin parti yang menjamin kebebasan bersuara disamping pada masa sama, mengawal dan memelihara kerahsiaan organisasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perintah larangan berkenaan dipercayai dibuat susulan pendedahan bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad, pada Ahad lalu, bahawa lima pemimpin parti itu terbabit dengan ‘kartel dedak’ berhubung penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Bagaimanapun, lima nama pemimpin berkenaan tidak dinyatakan dengan jelas oleh Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebaliknya diletakkan mengikut singkatan nama pemimpin berkenaan.

Berdasarkan senarai lima pemimpin terbabit, beliau mendakwa kartel dedak itu diketuai pemimpin parti yang diberi gelaran sebagai Dr Hussam II (kepala no 1) yang dibayangkan sebagai pemimpin licik.

Pada senarai kedua dinamakan sebagai Mr NT, ketiga Mr KT, keempat Mr KH dan kelima ‘semua dah tahu’.

Beliau mendakwa pemimpin nombor satu itu juga rapat dengan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pernah mendapatkan bantuan daripada pemimpin berkenaan.

Pendedahan itu kemudian bertambah ‘hangat’ apabila Zaharuddin, semalam dilaporkan mendakwa bahawa pendedahannya sebelum ini berkenaan ‘kartel dedak’ membabitkan pemimpin PAS mendapat restu Abdul Hadi.

Bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS itu menjelaskan tindakannya mendedahkan gerakan ‘kartel’ itu bertujuan mengelak serangan parti lawan, yang didakwa mempunyai audio penting untuk digunakan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Mei tahun lalu.

Takiyuddin berkata, ahli PAS perlu ingat bahawa sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti adalah menjadi kesalahan tatatertib.

“Ahli yang tidak patuh dan taat kepada arahan parti, bersandarkan Perlembagaan, aturan serta peraturan juga ialah kesalahan. Sebarang keingkaran terhadap perintah (larangan) ini membolehkan seseorang ahli dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib PAS,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");