Panasnya Hari Ini

Umno Akan Gerakkan 9,700 Ahli Di Sandakan Undi Calon PBS

SANDAKAN: Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin membuat penampilan pertama dalam kempen pilihan raya kecil Sandakan.

Bung Moktar tampil menyampaikan ceramah di Kampung Sim Sim malam tadi dengan memberitahu kira-kira 300 hadirin bahawa Umno Sabah akan menggerakkan penyokongnya di Sandakan untuk mengundi calon PBS Linda Tsen pada hari mengundi.

“Saya mahu jelaskan. Terdapat 14,000 pengundi Melayu (di Sandakan) dan 9,700 daripadanya adalah ahli Umno yang merupakan pengundi di Sandakan,” kata Bung Moktar yang disambut sorakan hadirin.

Selain daripada penyokong PBS, hadirin ceramah berkenaan dilihat terdiri daripada penyokong Umno serta mereka parti lain, seperti Usno dan Star.

Hadirin juga rata-rata bersetuju dengan ucapan Bung Moktar yang mengatakan bahawa kerajaan PH telah banyak mungkir janji sejak mula berkuasa.

Antara lain, katanya, harga barangan terus meningkat selepas kerajaan baru menggantikan GST dengan SST. Bung Moktar juga berkata PH tidak menunaikan janji untuk menurunkan harga petrol.

Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, menuduh DAP Sabah bergantung kepada DAP di Semenanjung dan menggesa ahli dan penyokong DAP di Sabah untuk mengundi parti tempatan, seperti PBS.

Apabila Tsen tiba di tapak ceramah, kira-kira pertengahan ucapan Bung Moktar, orang ramai mula bersorak, menjeritkan nama calon PBS itu serta memberikan tepukan. Salah seorang hadirin didengar menjerit, “Kami sayang kamu, Linda.”

Dalam ucapannya, Bung Moktar juga mendakwa bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai berat sebelah terhadap pembangkang dan akan memudahkan PH.

Salah seorang hadirin menuding hari pada pemerhati SPR yang mendengar ucapan di belakang pagar di bahagian belakang kawasan ceramah, yang kemudian membuatkan Bung Moktar mula bercakap dengannya secara langsung.

“SPR, tolong beri kami keadilan. Jangan terlalu berat sebelah,” katanya kepada pemerhati SPR yang dilihat melangkah dari tempatnya berdiri ketika orang ramai mula mengejeknya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Bung Moktar berkata beliau mahu menyertai kempen lebih awal tetapi tertangguh kerana ditangkap oleh SPRM minggu lalu dan seterusnya berdepan tuduhan di mahkamah di Kuala Lumpur.

Bung Monktar dikenakan tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan menerima wang pada bulan Jun 2015, dalam kapasitinya sebagai pengerusi bukan eksekutif Felcra.

Ditanya sama ada bekas perdana menteri Najib Razak akan menyertai kempen itu, Bung Moktar sekadar berkata: “Mungkin”.

Najib menyertai kempen untuk tiga pilihan raya kecil sebelum ini dengan penampilan baru sebagai ‘Bossku’ yang seterusnya menyaksikan BN mencatat tiga kemenangan berturut-turut.

Najib sendiri sebelum ini berkata bahawa beliau akan datang jika rakyat Sabah mahu beliau menyertai kempen PRK itu.

Tsen akan menentang Vivan Wong dari DAP dan tiga lagi calon bebas dalam pilihan raya kecil Sandakan yang akan diadakan pada 11 Mei lapor MKini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");