Berita Hari Ini

Wang Sumbangan RM41,000 Untuk Rawatan Anak Lesap

IPOH: Seorang wanita kini hidup dalam keadaan tertekan selepas wang sumbangan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan anaknya berjumlah RM41,000 lesap ditipu seorang lelaki.

Mangsa, Karen Khor Pooi Mun, 40, yang bekerja sebagai jurujual berkata, dia didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Simon Looi Ah Chuan yang mahu membantunya menguruskan rawatan tulang belakang dihidapi anak lelakinya berusia 14 tahun.

Pooi Mun yang mempercayai kata-kata lelaki itu kemudian menyerahkan wang RM41,000 hasil derma orang ramai untuk tujuan pengurusan rawatan anaknya kepada lelaki berkenaan.

“Wang berkenaan kemudian diserahkan kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Kuen Chek pada 20 Disember tahun lalu.

“Saya turut dipaksa untuk menandatangani satu surat kebenaran mengurus wang berkenaan pada 21 April lalu,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, di sini, hari ini.

Pooi Mun berkata, dia menuruti kehendak lelaki itu kerana terlalu percaya dan mengaku tidak faham sepenuhnya isi kandungan surat berkenaan kerana tidak boleh membaca Bahasa Melayu.

“Bagaimanapun, hingga hari ini, rawatan pembedahan tulang belakang anak saya tidak dapat dijalankan selepas mereka berdua tidak dapat dihubungi.

“Paling saya sedih apabila dituduh menyalahgunakan wang derma itu untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Poi Mun sudah membuat dua laporan polis pada 28 Februari dan 11 Mei lalu bagi membolehkan polis menyiasat dua individu berkenaan serta mendapatkan kembali wangnya.

“Saya berharap pihak polis dapat bertindak segera agar wang itu dapat dikembalikan kepada saya bagi merawat penyakit anak saya,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");