Berita Hari Ini

PTPTN Dengar Pandangan Umum

SIMPANG RENGGAM: Sebarang keputusan diambil oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengambil kira pandangan masyarakat dan memberikan impak positif.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ia adalah komitmen kementerian dalam menguruskan isu yang dihadapi tabung dana itu pada masa ini.

Beliau berkata cadangan yang dikemukakan oleh PTPTN sebelum ini adalah pandangan yang diambil melalui proses libat urus bersama pelbagai pihak dan tidak semestinya akan dilaksanakan oleh PTPTN.

“Sekarang ini PTPTN sedang lakukan konsultasi awam untuk dapatkan maklum balas masyarakat mengenai isu yang timbul dan majoriti rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan itu dan semalam saya minta PTPTN agar buat komunikasi yang baik bersama media.

“Bagi orang muda di luar sana, Insya-Allah kita akan cuba membantu sebaik mungkin dalam usaha memberikan yang terbaik kepada golongan ini dan ia adalah komitmen saya sebagai menteri yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam bercakap kepada pemberita pada selepas Majlis Pelancaran 100,000 bungkus Bubur Lambuk Econsave di Pasar Raya Econsave Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Pengurus Operasi Pasar Raya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam.

Maszlee berkata segala keputusan muktamad berkenaan isu PTPTN termasuk menyenaraihitamkan peminjam yang gagal membayar hutang dan pemberian diskaun terhadap peminjam akan diumumkan pada Julai ini selepas mengambil kira hasil konsultasi awam yang dijalankan sekarang.

PTPTN dilanda kontroversi sejak kelmarin apabila ia didakwa mahu memperkenalkan semula langkah menyenaraihitam peminjam yang gagal membayar balik pinjaman daripada ke luar negara.

PTPTN juga dikatakan sedang meneliti beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan, termasuk menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada Kabinet.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");