Berita Hari Ini

199 Saman Dalam Tempoh 30 Minit

SUNGAI PETANI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah memeriksa 895 buah kenderaan dan mengeluarkan 199 saman pelbagai kesalahan dalam tempoh sejam setengah menerusi Operasi Khas Motosikal, malam tadi.

Menurut BH Online, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Jawatankuasa Industri Utama negeri, Azman Nasrudin, berkata operasi yang dijalankan bermula 8.30 malam itu turut menyita sebuah kereta jenis Honda Insight yang disyaki kenderaan klon.

Katanya, operasi itu turut membabitkan agensi penguatkuasaaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Antara kesalahan tertinggi yang dicatatkan membabitkan kesalahan tiada lesen, tiada cukai jalan dan insurans.

“Selain itu, AADK turut mengesan lima kes berkaitan penyalahgunaan dadah membabitkan penunggang motosikal berusia 17 hingga 30 tahun yang didapati positif syabu dan morfin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019. Hadir sama, Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff.

Dalam pada itu, Azman berkata, Operasi HRA 2019 yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula 29 Mei sehingga 13 Jun itu menyasarkan penurunan 20 peratus kematian akibat kemalangan di lebuh raya berbanding HRA 2018.

“Kita juga berusaha untuk menurunkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 10 peratus bagi kenderaan persendirian dan motosikal berbanding musim perayaan lalu,” katanya.

Sementara itu, Ismasuhaimi berkata, seramai 216 anggota dan pegawai penguat kuasa JPJ negeri itu terbabit dalam operasi yang dijalankan.

Katanya, antara pendekatan yang diambil termasuklah memberi fokus kepada kenderaan pengangkutan barangan di lebuh raya dan jalan utama, bandaran dan negeri, selain membuat penyamaran sebagai penumpang bas.

Beliau berkata, pihaknya turut menggalakkan orang ramai supaya menghantar aduan awam dan aduan bergambar menerusi aplikasi WhatsApp bagi mengesan kesalahan jalan raya yang dilakukan terutamanya sempena musim perayaan.

“Apa yang kita perlukan adalah laporan ringkas aduan, tarikh dan masa, tempat kejadian, jenis kenderaan, nombor pendaftaran serta salinan foto atau video berkaitan dan orang ramai boleh menghantarnya ke 013-4498997,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");