Berita Hari Ini

Elak Isu Zakat Jadi Bahan Kempen Parti

KANGAR: Pemimpin politik tidak wajar menjadi wakil menyampaikan zakat kepada asnaf kerana dikhuatiri akan menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata jika perkara terbabit diambil ringan, ia akan dijadikan bahan berkempen parti politik.

“Isunya bukan sama ada zakat itu boleh diwakilkan atau tidak. Keutamaannya adalah jika ruang itu dibuka, dalam konteks negara demokrasi ia akan dijadikan bahan berkempen politik kepartian menggunakan agama atau lebih khususnya zakat,” katanya menerusi satu kenyataan dalam Facebook, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila beberapa pemimpin parti politik di kawasan tertentu aktif menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan tertentu khususnya asnaf.

Tindakan itu mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kerana sebahagian mereka berpendapat penyampaian zakat harus diberikan pihak berkuasa dalam negeri yang diamanahkan menjalankan tanggungjawab itu.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, beliau bersetuju dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang melarang ahli politik menyampaikan zakat kepada asnaf di Perlis.

“Sepanjang saya bertugas (sebagai Mufti Perlis), hanya Raja Perlis ataupun Raja Muda Perlis saja yang menyerahkan zakat.

“Jika tiada, hanya orang yang diperkenankan Raja Perlis atau Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) saja dibenarkan menyampaikan zakat.

“Pastinya mereka bukan dalam kalangan orang politik dan ini bagi mengelak salah tujuan atau ia dijadikan kempen politik kepartian,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini perlu meminimumkan penyalahgunaan agama bagi tujuan kempen politik kepartian yang mempunyai agenda bersifat kelompok dan peribadi.

Katanya, ini kerana penyalahgunaan agama untuk kepentingan politik kepartian adalah musibah besar kepada umat ini.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");