Berita Hari Ini

Batu Pahat Catat Kematian Tertinggi Sejak 2016

BATU PAHAT: Kementerian Pengangkutan mengenal pasti Batu Pahat sebagai daerah yang mencatat kadar kematian tertinggi akibat kemalangan, sejak 2016.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pada 2016 saja, sebanyak 207 kematian dicatatkan.

Bagaimanapun, kadar kematian akibat kemalangan menurun 20 peratus kepada 165 kematian sebaik saja Program My Safe Road dilaksanakan pada 2017.

Bagaimanapun, tahun lalu jumlah kematian meningkat lapan peratus kepada 178 orang.

“Pada suku pertama tahun ini sahaja, 44 nyawa terkorban di daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Program My Safe Road, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Loke berkata, bagi kemalangan di seluruh negara, usia mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya sekitar 15 hingga 25 tahun dengan kebanyakan daripada mereka penunggang motosikal.

Beliau berkata, pihaknya merangka pelbagai program dalam usaha mengurangkan kadar kematian dengan antaranya memperkasakan Program My Safe Road ini, yang akan difokuskan di beberapa tempat yang mencatat kematian tertinggi.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Datuk Suret Singh dan Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly.

Selain itu, katanya, kementerian akan mengadakan beberapa program advokasi di sekolah serta pusat pengajian tinggi kerana kadar kematian juga ada membabitkan penuntut universiti.

Ditanya mengenai Jalan Kluang, di sini yang juga laluan yang mencatatkan kematian tertinggi di negara ini, katanya, Kementerian Pengangkutan menganggarkan kos menaik taraf laluan itu mencecah RM300 juta untuk mengurangkan kadar kematian.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya untuk tujuan projek naik taraf ini dengan membina pembahagi jalan dan pusingan U sepanjang 17 kilometer, iaitu lokasi hotspot kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Kami juga merancang akan memperbanyakkan rumble strips (jalur bergetar) di lokasi tertentu agar pengguna jalan raya dapat memperlahankan kenderaan masing-masing, sekali gus menyedari lokasi yang mempunyai risiko berlakunya kemalangan,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");