Berita Hari Ini

Dr Mahathir Mulakan Lawatan Kerja 3 Hari Ke UK Hari Ini

LONDON: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tiba di London pada Jumaat untuk lawatan kerja 3 hari ke United Kingdom, diiringinya isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa pegawai tiba lebih awal untuk mengiringi Mahathir dalam lawatan kerja itu.

Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, atucara pertama lawatan beliau ialah mengadakan pertemuan dengan wakil Majlis Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (Ireland)(UKEC) pada pagi Sabtu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Pada sebelah petang, perdana menteri akan melawat Galeri Dunia Islam Yayasan Al Bukhary yang baru di Muzium British di Bloomsbury.

Galeri itu yang ditubuhkan dengan sokongan Yayasan Al Bukhary kini sedang membantu Muzium British mengatur semula pameran koleksi penting warisan Islam, yang mencerminkan hubungan antara kebudayaan Islam dengan Dunia Purba di satu pihak, dan kebudayaan dunia Mediterranean dan Eropah di pihak yang lain.

Pada Ahad, selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Templewood Gardens di Camden, Mahathir akan ke Universiti Cambridge kira-kira 100 km dari situ untuk menyampaikan syarahan bertajuk “Demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara” di Cambridge Union.

Pada Januari tahun ini, Mahathir menyampaikan syarahan yang menarik perhatian di Oxford Union, persatuan debat yang anggotanya kebanyakannya adalah dari Universiti Oxford, universiti tertua di dunia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan, dan ditubuhkan pada 1096.

Syarahan di Cambridge dijangka menarik personaliti dan ahli akademik terkemuka di UK, selain para penuntut institusi pengajian tinggi, kata para pegawai Suruhanjaya Tinggi.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Malaysia untuk menarik pelaburan asing, pada Isnin perdana menteri akan menghadiri sesi pertemuan dengan pelabur dan pemain industri di UK.

Majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Maybank adalah bagi meneroka bidang kerjasama bagi memperkukuh perdagangan dua hala.

Sejak 10 tahun lepas, perdagangan antara Malaysia dan UK mencatat kadar pertumbuhan 2% setahun dengan jumlah dagangan 2 hala tahunan bernilai dari RM12 bilion hingga RM17 bilion.

Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Mahathir juga mungkin akan melawat bayi perempuan Ainul Mardhiah yang berjaya menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di sini untuk membuang ketumbuhan “extragonadal germ cell tumour” di mulutnya baru-baru ini sebelum mengakhiri lawatannya lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");