Sukan Hari Ini

Durakovic Dedah Rahsia Perak

IPOH: Semangat juang tinggi dan tidak melakukan kesilapan menjadi kunci kejayaan pasukan Perak menewaskan juara bertahan, Pahang pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak di sini, malam tadi.

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic berkata, perlawanan dengan skuad Tok Gajah itu bukannya pertemuan mudah kerana pasukan dikendali Dollah Salleh adalah antara pasukan terbaik di negara ini.

Durakovic bagaimanapun memuji corak permainan anak buahnya yang dilihat tanpa henti melakukan serangan sebaik permainan bermula.

“Sememangnya dari mula hingga akhir, kita melakukan asakan serta tekanan dan tentunya ia adalah perlawanan terbaik kerana kita mendominasi permainan,” kata Durakovic.

“Untuk pertama kali, kita tidak melakukan kesilapan walaupun ketiadaan tiga tonggak utama saya iaitu Ronaldo (Ronaldo Henrique Silva), Naim (Nazirul Naim Che Hashim) dan Azhan (Amirul Azhan Aznan).

“Kita cuba ubah sedikit kesebelasan utama serta taktik pada malam ini, dan ianya menjadi.”

Durakovic turut memuji kehadiran 20,000 penyokong yang menjadi pemain ke-12 dan tidak putus asa memberikan sokongan walaupun di atas kertas Perak dilihat sukar untuk menang disebabkan kelebihan dua gol dimiliki Pahang.

“Saya berharap penyokong akan terus memberikan sokongan tanpa henti kerana sudah tentu ia akan memberi kelebihan kepada pemain untuk terus melakukan kejayaan,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berkata, kemenangan yang melayakkan Perak melangkah ke perlawanan akhir itu akan membuka lembaran baru dalam kariernya untuk membaiki kesilapan diri.

“Minggu ini adalah minggu yang sukar bagi saya selepas melepaskan tiga gol pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Pahang namun saya anggap itu adalah ujian untuk saya.

“Kami masih ada empat lagi perlawanan dan saya sendiri akan cuba terbaik dalam liga, sama ada saya akan diturunkan pada perlawanan akhir itu terserah kepada jurulatih yang penting saya mahu jaga persembahan saya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");