Berita Hari Ini

Elaun Khas Kepada Anggota Polis Bekerja Lebih Masa

KUALA LUMPUR: Elaun khas wajar diperuntukkan sebagai langkah timbal balik kepada anggota polis berpangkat rendah yang bekerja lebih lapan jam sehari.

Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP), Sub Inspektor Norraji Rojo, berkata ketika ini, anggota terbabit tidak dibayar elaun kerja lebih masa kerana dianggap bertugas 24 jam sehari mengikut Akta Polis 1967.

Beliau berkata pihaknya yakin elaun khas itu secara tidak langsung akan menaikkan moral dan semangat anggota untuk terus berbakti kepada negara selain meringankan kos sara hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Secara kebiasaannya, anggota terbabit akan bekerja lebih lapan jam sehari, malah ada yang terpaksa dipanggil untuk bertugas walaupun ia adalah hari cuti mereka susulan kekurangan anggota atau terdapat kes berprofil tinggi.

“Itu tidak sebut mengenai cuti am, sedangkan rakyat bercuti untuk meluangkan masa bersama keluarga sempena sambutan Aidilfitri manakala anggota terbabit terpaksa berjaga siang dan malam mencurahkan keringat demi memastikan negara terus aman,” katanya pada BH, semalam.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan memohon kerajaan supaya gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Katanya, gaji diperoleh golongan berkenaan iaitu daripada sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka bertugas di bandar besar.

Mengulas lanjut, Norraji berkata elaun imbuhan tetap perumahan berjumlah RM300 sebulan yang diberikan kepada setiap anggota perlu dikaji semula sesuai dengan zon kediaman dan perkembangan semasa.

“Tidak adil bagi mereka yang menetap di ibu kota yang besar, namun menerima RM300 sama seperti anggota yang tinggal di pekan kecil.

“Di Kuala Lumpur, sudah tentu imbuhan itu tidak cukup dan memaksa anggota menambah duit sendiri untuk membayar sewa rumah.

“Ia meningkatkan kos perbelanjaan mereka, malah ada yang terpaksa meninggalkan isteri dan anak di kampung kerana tidak mampu menyewa kediaman yang sesuai berikutan kos sewa yang mahal,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");