Perak Hari Ini

Isu Zakir Naik, Pas Perak Sokong Keputusan Tun Mahathir

IPOH: Pas Perak menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak tunduk kepada permintaan India untuk mengekstradisi pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik ke negara itu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata perkara tersebut juga boleh dikategorikan sebagai memberi perlindungan dan permohonan suaka politik yang mana ia termaktub dalam peruntukan perundangan negara.

Malah katanya keberadaan Zakir Naik juga bukanlah suatu ancaman seperti yang didakwa segelintir pihak.

Minggu lalu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan menghantar pulang pendakwah terkemuka itu ke India kerana Zakir Naik sudah diberikan status penduduk tetap di negara ini.

Perdana Menteri turut membuat kenyataan dengan membandingkan status Zakir Naik dengan permohonan Malaysia terhadap Australia berkenaan ekstradisi Sirul Azhar Umar yang disabit atas kesalahan bunuh.

Walau bagaimanapun dilaporkan keputusan tersebut dikritik segelintir individu yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan dan juga seorang peguam.

Ujar Razman semua pihak harus menyokong keputusan kerajaan itu dengan pandangan rasional yang selari dengan peruntukan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya usaha dakwah Zakir Naik juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan yang mana membenarkan ajaran agama Islam dikembangkan.

“Dr Zakir Naik adalah pendakwah. Sudah tentu ada golongan yang berasa terancam. Mereka sepatutnya tidak boleh berasa begitu.

“Jika ada sesiapa yang datang berdakwah dan ada pihak yang tidak senang serta membantah, kita tidak boleh ikut kemahuan mereka. Kita harus rasional,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Selain itu Razman turut menafikan bahawa dakwaan segelintir pihak yang menyebut keberadaan Zakir Naik akan menyebabkan perpecahan masyarakat dalam negara ini.

“Dakwah ini terpulang kepada sesiapa yang mahu mengikut atau tidak. Jangan marah jika ada orang yang mengikut,” ujarnya.

Terdahulu selain Pemuda Pas dan Pas Pusat, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin turut senada dan keputusan kerajaan berhubung perkara sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");