Membawang Hari Ini

Jaga Suami Hidap Skizofrenia Uji Kesabaran Fynn Jamal

KUALA LUMPUR: Penyanyi Fynn Jamal mengakui, pernah hilang punca apabila suaminya, Hazrilfitri Hadzir disahkan menghidap skizofrenia, tahun lalu.

Fynn berkata, situasi itu agak mencabar kerana dia yang selama ini dimanja suaminya terpaksa bersendirian menguruskan keluarga, selain berhadapan dugaan apabila perniagaan yang diusahakan turut bermasalah.

“Tahun lalu sangat mencabar, selain diuji masalah kesihatan, perniagaan juga jatuh. Apabila suami tercinta diduga dengan masalah kesihatan, saya jadi hilang punca.

“Sebagai isteri, saya terlalu dimanja dan tidak pandai berbuat apa-apa kerana semuanya diuruskan suami. Tetapi, saya lalui juga kerana sejak kecil, saya melihat bagaimana abah menyantuni arwah ibu yang terlantar kerana kanser.

“Saya juga mampu melakukannya dan selalu berpesan pada diri, itulah bukti cinta dan saya sudah bersedia melaluinya,” katanya.

Fynn atau nama sebenarnya, Affina Yanti Jamalludin, 36, berkata ketika awal suaminya berdepan masalah itu, hatinya sering tertanya-tanya apakah dia harus bertahan atau sebaliknya.

Bukan kerana tidak sanggup menjaga atau kesetiaan terhadap suami sudah hilang, sebaliknya dia bimbang memikirkan keselamatan, terutama anaknya.

“Saya masih ingat lagi, setiap hari saya menunaikan solat sunat istikharah dan bertanya (kepada Allah) sama ada perlu bertahan atau tidak.

“Setiap hari ada sahaja petunjuk daripada Allah yang memberitahu supaya bertahan dan saya melakukannya. Saya cuma perlu bertawakal dan bersabar,” luahnya dalam satu hantaran di Instagram.

Penyanyi yang popular dengan lagu Arjuna Beta itu berkata, saat didatangkan ujian hebat, keluarganya turut mendapat hikmah apabila segala urusan mereka tiba-tiba dipermudahkan.

“Allah bayar semua kesabaran saya secara ‘tunai’ apabila kesihatan suami semakin baik, manakala perniagaan susu Arjuna dan pakaian Fynn Jamal RTW pula meraih keuntungan besar, tahun ini.

“Kami berpindah rumah yang tidak pernah walaupun sekali, disangka mampu untuk didiami. Macam-macam yang Allah beri, malah ia tidak terjangkau akal dan tidak pernah dibayangkan.

“Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya dan terima kasih kerana menunjukkan saya jalan keluar dalam setiap permasalahan,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");