Berita Hari Ini

JPJ Akan Perluaskan Sistem JPJeBid

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) ke JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mulai 21 Jun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sehubungan itu, mulai 21 Jun ini, tiada lagi bidaan secara manual bagi semua nombor pendaftaran kenderaan di JPJ WPKL kerana ia hanya boleh dibuat melalui sistem JPJeBid.

Katanya, ia akan dimulakan dengan nombor pendaftaran kenderaan siri ‘VDN’ yang mana bidaan akan dibuka selama lima hari dari jam 12 tengah malam bermula 21 Jun ini hingga 11.59 malam pada 25 Jun.

“Keputusan akan diumumkan pada 26 Jun pada jam 12 tengah hari. Sehubungan itu, pendaftaran boleh dilakukan di portal https://jpjebid.jpj.gov.my atau aplikasi mudah alih JPJeBid.

“Ia terbuka kepada warga negara dan penduduk tetap Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas serta perniagaan atau syarikat yang berdaftar.

“Bagaimanapun, orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod di sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dulu di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangannya kecuali Pusat Transformasi Bandar (UTC),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, harga bidaan JPJeBid adalah mengikut harga minimum membabitkan beberapa kategori.

Katanya, bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum ialah RM20,000 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM1,000 iaitu pada kadar lima peratus.

“Bagi nombor menarik harga minimum adalah RM3,000 dan kenaikan bidaan minimum RM150; nombor popular (harga minimum RM800 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM40) dan nombor biasa (harga minimum RM300 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM15).

“Kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid hanya menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan saja dan tiada sekatan untuk melakukan bidaan.

“Bagaimanapun, setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala bagi perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, JPJeBid menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat, selain mesra pengguna.

Katanya, sebelum ini, siri ‘FC’ (Putrajaya) menjadi perintis bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian yang mana sistem itu dilancarkan sempena Sambutan Hari JPJ Ke-73 pada 15 April lalu.

“Bidaan yang berlangsung selama lima hari itu mengutip jumlah bidaan lebih RM3.1 juta bagi 2,481 bilangan bidaan, manakala bidaan tertinggi adalah bagi nombor FC1 dengan harga RM231,000,” katanya kepada BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");