Berita Hari Ini

NAFAS Umum Dividen DPK 8 Peratus

PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) yang berakhir Disember 2018 untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) sebanyak lapan peratus membabitkan 5,119 pelabur.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata DPK mencatatkan keuntungan RM9.9 juta bagi kewangan berakhir pada 31 Disember 2018 berbanding RM9.5 juta pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan agihan dividen juga meningkat 0.7 peratus iaitu RM7.6 juta pada 2018 berbanding tahun 2017.

“Walaupun dividen nominal jika dibandingkan tahun 2017, DPK mampu memberi pulangan kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten dengan purata dividen sebenar bagi tiga tahun berturut-turut adalah 9.3 peratus,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri NAFAS, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, walaupun kadar dividen diumumkan menurun berbanding tahun sebelumnya, namun jumlah agihan dividen bertambah daripada RM7.5 juta kepada RM7.6 juta yang bakal diterima 5,119 pelabur.

“Meskipun 2018 tahun yang sukar dan didominasi ketidaktentuan pasaran, DPK akan terus fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan serta pulangan memberangsangkan kepada ahli pada masa depan.

“DPK juga sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi untuk menjadi lebih kukuh, justeru mula mempelbagaikan aktiviti pelaburan alternatif yang berisiko rendah dan sederhana, selain meneroka produk pembiayaan baharu,” katanya.

Salahuddin berkata, mekanisma itu akan memberi manfaat kepada pelabur, sekali gus berpeluang menikmati dividen lebih konsisten setiap tahun.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");