Berita Hari Ini

Nafi Lakukan Ugutan Terhadap Haziq – Muhammad Hilman

PUTRAJAYA: Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham menafikan membuat ugutan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam pertemuan mereka pada Selasa lalu.

Muhammad Hilman dalam kenyataan semalam berkata, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, berkaitan laporan polis dibuat Haziq semalam yang merupakan fitnah jenayah ke atas dirinya.

“Dalam laporannya, Haziq menuduh saya melakukan ugutan ke atas beliau semasa pertemuan kami pada 11 Jun lalu, kira-kira jam 2.40 petang di Zest Coffee House, Marriot Hotel, Putrajaya. Pertemuan itu adalah atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Justeru, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya laporan itu dan ingin menegaskan bahawa ia adalah laporan palsu,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu, Haziq menyatakan kepadanya bahawa dia adalah mangsa permainan politik kotor untuk menjatuhkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Beliau juga menyatakan bahawa video itu palsu dan menafikan beliau adalah karakter dalam video itu.

“Haziq juga meminta pandangan saya untuk beliau bertemu keluarganya bagi mendapatkan pandangan. Saya bersetuju dan meminta beliau bersabar.

“Malah, saya menasihatkan beliau bahawa dalam menghadapi fitnah begini, keluarga adalah elemen penting yang harus dipelihara perasaan dan maruahnya,” katanya.

Semalam, Haziq yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya bagi menyangkal segala tohmahan netizen terhadapnya.

Dalam laporan itu, Haziq mendakwa Muhammad Hilman memaksanya untuk menafikan bahawa diri dalam video itu dan memintanya untuk berbohong selain mendakwa dirinya diancam, diugut dan dimanipulasikan.

Semalam, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu sidang media berkata, Muhammad Haziq digantung tugas serta-merta dan perlu menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari.

Baru-baru ini, individu mengaku Haziq Aziz yang tampil membuat pengakuan bahawa dia terbabit dalam video bersama lelaki lain mirip seorang menteri.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");