Berita Hari Ini

Pemeriksaan Kesihatan Setiap Bulan Di Perkampungan Kuala Koh

KOTA BHARU: Pemeriksaan kesihatan di perkampungan Kuala Koh diadakan setiap bulan melalui Pasukan Bergerak Orang Asli (PBOA), Klinik Kesihatan Aring, Gua Musang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, yang memaklumkan perkara itu ketika dihubungi, hari ini, berkata perkampungan berkenaan diklasifikasikan sebagai pos Orang Asli Pinggiran.

Katanya, PBOA akan ke perkampungan itu sekali sebulan membabitkan seorang pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat masyarakat dan seorang pemandu, untuk memberikan perkhidmatan dari pagi hingga petang.

Beliau berkata, perkhidmatan disediakan ialah pesakit luar serta kesihatan ibu dan anak, selain suntikan vaksin yang diberi mengikut jadual ditetapkan.

“Hanya kanak-kanak yang perlu disuntik akan menerima suntikan pada hari berkenaan. Isu liputan imunisasi masih menjadi masalah kerana ada kanak-kanak yang memerlukan suntikan, tidak ditemui ketika lawatan dilakukan.

“Ini kerana kanak-kanak terbabit mengikut keluarga masuk ke hutan atau ke Ulu Sat, Jerantut, ataupun Sungai Berua, Hulu Terengganu. Pihak berkuasa kesihatan turut meminta bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengesan kes ini bagi meningkatkan liputan imunisasi.

“Lawatan lebih kerap dilakukan selepas kejadian kluster pneumonia pada April lalu, iaitu lapan kali bermula 11 April hingga 29 Mei,” katanya.

Dr Zaini berkata, Jabatan Kesihatan akan terus bekerjasama dengan semua agensi terbabit dalam pengurusan pencegahan dan kawalan kejadian itu.

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak tidak sewenang-wenang melemparkan tuduhan dan cuba mengambil kesempatan bagi kepentingan peribadi mahupun organisasi atas isu berkenaan.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");