Berita Hari Ini

Peniaga, Pembeli Sambut Baik Bazar Ramadan Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Keputusan pemindahan tapak Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) ke Jalan Raja, Dataran Merdeka mendapat sambutan baik dari kalangan peniaga dan pengunjung.

Sememangnya pada mulanya kedengaran rintihan kecewa daripada para peniaga berikutan tapak perniagaan mereka akan dipindahkan kerana dijangkakan sambutan pengunjung tidak sehebat sebelum ini.

Salah seorang peniaga, Mohd Ridzwan berkata sambutan yang diterima tidak sebaik sebelum ini akan tetapi beliau tetap mengambil positif tindakan yang dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga kerajaan dengan memindahkan para peniaga ke tempat yang baru.

Bagaimanapun, beliau berharap sama ada kerajaan mahupun DBKL perlu menaiktarafkan beberapa sistem bagi melancarkan perniagaan mereka.

“Kami kehilangan para pengunjung pada waktu siang tetapi apabila waktu kemuncak para pengunjung yang diterima sangat mendadak.

“Akan tetapi kawasan perniagaan yang sempit menyebabkan pengunjung agak kurang selesa untuk membeli jualan kami.

“Kawasan untuk berniaga sekarang boleh dikatakan agak sempit dan menyebabkan pengunjung tidak selesa untuk melakukan urusan seperti membeli, tawar menawar dan juga mencuba pakaian yang ingin dibeli.

“Ia juga boleh menyebabkan kawasan tapak berniaga menjadi banjir apabila hari hujan dan ini merupakan sesuatu yang tidak baik buat para peniaga.

Bagaimanapun jelas Ridwan, selain permasalahan berkenaan beliau sangat menyambut baik usaha kerajaan dalam menyediakan kawasan yang lebih teratur untuk peniaga.

“Selain itu keadaan sebenarnya lebih selesa disebabkan disebabkan tapak berniaga mempunyai penghawa dingin dan dari segi kemudahan yang disediakan memang tiada masalah dan saya seronok berniaga di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu tinjauan yang dilakukan di Bazar Ramadan Jalan Raja, Dataran Merdeka, hari ini.

Salah seorang pengunjung setia Jalan TAR, Malina Ali Umar berkata menyifatkan perpindahan ini sesuatu yang baik dan selesa.

“Semuanya okay tetapi jika dapat diperbesarkan laluan tengah untuk berjalan itu adalah lebih baik buat para pengunjung.

“Ini kerana ada pengunjung yang bawa anak, ibu bapa untuk membeli belah dan ini tidak memberi keselesaan kepada mereka apabila ramai yang berkunjung ke bazar tersebut.

“Kalau nak kira sesak, itu biasa apabila menjelang hari raya tetapi akan menjadi sesuatu yang lebih baik jika diperbesarkan laluan itu untuk memudahkan pengunjung untuk berjalan tanpa perlu bersesak,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Shahruddin Md Salleh mengumumkan lokasi baru bazar Ramadan di Jalan Raja di Kuala Lumpur menggantikan bazar di lorong Jalan TAR / Jalan Masjid India.

Katanya, lokasi itu tidak lagi sesuai memandangkan DBKL mendapat banyak bantahan daripada peniaga, selain isu kesesakan lalu lintas yang teruk dan masalah longgokan sampah.

Awal bulan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad meminta DBKL untuk melaksanakan rancangan pemindahan itu.

Khalid berkata, walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan rancangan itu, pada masa sama terdapat kumpulan lain menyokong cadangan tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");