Perak Hari Ini

‘Perak Oxygen Land Bank’ Bakal Beri Ruang Syarikat Korporat Ambil Pokok Angkat

IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) bakal melancarkan program ‘Perak Oxygen Land Bank’ yang mana ia memberi ruang penglibatan pihak awam dan syarikat korporat dalam sama-sama memelihara hutan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, program tersebut akan memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk mengambil dan menjadikan pokok di semua hutan simpan di Perak sebagai pokok angkat.

Katanya antara pakej yang ditawarkan ialah seperti RM5,000 dalam tempoh setahun bagi pokok ukuran diameter 30 sentimeter (sm) dan ke atas.

“Konsep dia kita jual pokok kepada individu atau syarikat korporat. Mungkin satu pokok kita kenakan 30 sm ke atas, RM5,000 setahun.

“Tujuan membeli pokok itu bukan untuk ditebang namun ia untuk dipelihara dalam tempoh setahun.

“Seperti kita tahu, pokok mengeluarkan oksigen kepada masyarakat. Usaha ini seolah-olah dapat dilihat sebagai usaha amal jariah. Program ini akan dilancarkan oleh Menteri Besar Perak,” katanya.

Jelasnya program tersebut akan bermula di Hutan Simpan Chikus yang melibatkan kawasan berkeluasan 10 hektar dan meliputi 44 spesies pokok yang juga akan dijual dengan kaedah berfasa.

Tambahnya, ia kemudian akan dijalankan di Hutan Simpan Royal Belum yang melibatkan kawasan seluas 21.5 hektar.

Ujar beliau, disebabkan hutan simpan di Gerik itu merupakan hutan semula jadi yang berbeza dengan di Hutan Simpan Chikus, JPNPk akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) bagi kerja-kerja bancian tapak dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, menurut Mohamed Zin, menerusi program Perak Oxygen Land Bank ini, JPNPk juga akan menjalankan kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memberi kemudahan pelepasan cukai kepada peserta yang terlibat.

Pada masa sama katanya inisiatif program tersebut, juga bertujuan untuk memberi alternatif kepada bagi mendapatkan hasil dana bagi kerajaan negeri.

“Jika program ini mendapat sambutan, ia akan diperluaskan. Mungkin kita akan libatkan di seluruh Hutan Simpan di Perak.

“Sekiranya tujuan program ini tercapai, kemungkinan tiada lagi aktiviti pembalakan kerana kita berjaya hasilkan sumber dana kerajaan negeri yang baharu,” katanya.

Pada masa sama beliau turut menyahut semua pihak termasuk persatuan-persatuan atau organisasi bukan kerajaan (NGO) alam sekitar untuk bersama-sama dalam menjayakan program itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Jamuan Hari Raya JPNPk di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di Meru, dekat sini, hari ini.

Majlis dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said, barisan Exco Kerajaan Negeri serta sekitar 700 pegawai dan kakitangan JPNPk.

Mengulas lanjut majlis tersebut, Mohamed Zin berkata ia julung kali diadakan di kawasan tersebut yang mana ia sebahagian daripada usaha Program Pemuliharaan, Pendidikan, Promosi dan Kesedaran (CEPA).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");