Berita Hari Ini

Orang Asli Kuala Koh: Bedah Siasat 14 Mayat Selesai

KOTA BHARU – Kesemua 14 mayat Orang Asli suku Batek yang dikeluarkan dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang telah selesai menjalani proses bedah siasat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, selepas ini, proses pengebumian semula akan dilakukan oleh pihak berkaitan memetik laporan Kosmo Online.

“Sekarang ini adalah fasa pengebumian, kita tidak tahu bila ia akan dijalankan.

“Kita hanya menunggu dari pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk proses pengebumian kerana dalam urusan berkenaan polis hanya membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, walaupun pusat operasi masih dibuka, namun kekuatan anggota dikurangkan berbanding sebelum ini.

“Sehingga kini, pusat operasi di Felda Aring 10 di Gua Musang masih beroperasi dan kawasan perkampungan Kuala Koh juga masih lagi dalam zon merah sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memaklumkan kawasan itu selamat.

“Walaupun pusat operasi masih beroperasi, namun kekuatan anggota sudah dikecilkan berbanding sebelum ini,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan sebanyak 37 daripada 112 pesakit Orang Asli Suku Batek di Kg. Kuala Koh, Gua Musang yang diselubungi penyakit misteri, disahkan menghidap wabak measles (demam campak).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan ujian makmal yang dijalan ke atas seramai 170 daripada 185 (92 peratus) penduduk Kampung Kuala Koh yang telah ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka.

“Sebanyak 37 kes telah disahkan measles melalui ujian makmal. Keputusan ujian-ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

“Berdasarkan daripada keputusan makmal tersebut, penyakit yang berlaku dalam kalangan Orang Asli Kampung Kuala Koh ini ialah wabak measles (demam campak),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");