Beliau dilihat tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada pukul 11.05 pagi lapor Utusan Online.

Muhammad Hilman pernah memaklumkan beliau akan dipanggil polis hari ini untuk memberikan keterangan membabitkan dakwaan oleh Haziq Abdullah.

Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama itu sebelum ini membuat laporan polis dan menuduh Muhammad Hilman melakukan ugutan ke atasnya dalam satu pertemuan berlangsung 11 Jun lalu, kira-kira pukul 2.40 petang di Zest Coffee House, Hotel Marriot di sini.

Walau bagaimanapun, Muhammad Hilman menafikan dakwaan itu dan menjelaskan pertemuan tersebut adalah atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dakwa beliau lagi, dalam pertemuan itu, Haziq Abdullah telah menyatakan kepadanya bahawa dia adalah mangsa permainan politik kotor untuk menjatuhkan Mohamed Azmin.

“Dia juga menyatakan bahawa video tersebut palsu dan menafikan beliau adalah karakter dalam video tersebut,” ujar Muhammad Hilman lagi.

Haziq Abdullah merupakan individu yang mengaku berada dalam video seks mengaitkan Mohamed Azmin selepas video itu tersebar sejak kelmarin.

Dia yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.