Dalam kejadian kira-kira 6.50 petang itu, mangsa, Mohamad Ikhwan Naim Kamarudin, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik seorang diri itu sedang dalam perjalanan dari Bidor menghala ke Teluk Intan.

“Tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian melanggar sebuah van jenis Toyota LiteAce yang berada di laluan tersebut secara berhadapan,” katanya.

Tambah Mohd. Marzukhi, akibat rempuhan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana cedera parah manakala pemandu van berusia 42 tahun pula turut mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

“Tiga penumpang van tersebut hanya mengalami kecederaan ringan dan empat lagi penumpang tidak cedera.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat dan semua mangsa cedera turut dirawat di hospital sama,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memetik laporan Kosmo Online.