Perak Hari Ini

Tolak Permainan Politik Sempit – MB Perak

IPOH: Semua pihak diseru untuk berwaspada daripada terus memainkan sentimen agama dan perkauman yang hanya mencari perbezaan dan tidak menumpu ke arah penyatuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sekiranya tidak bertindak demikian, maka semua pihak terpaksa membayar dengan harga yang mahal terhadap perkara itu.

Katanya, semua pihak tidak mampu untuk ke hadapan sekiranya setiap kaum dalam negara ini meletakkan perasaan curiga antara satu sama lain.

Ujarnya keadaan itu hanya akan meruntuhkan nilai-nilai yang menjadi kekuatan kepada kemajuan negara selama ini.

“Maka permainan politik sempit yang sedang cuba ditanam oleh pihak tertentu perlu ditolak sama sekali.

“Selagi mana kerajaan yang wujud hari ini terus dipimpin oleh golongan yang tidak mengenepikan kepentingan Islam dan Melayu, selagi itulah kita wajar memberi sokongan dan menolak segala rekayasa fitnah ciptaan pihak tertentu, yang sanggup memperjudikan masa depan anak bangsa demi mendapatkan kuasa,” katanya.

Selain itu ujarnya beliau sedar akan keadaan di mana masih ramai yang agak skeptikal terhadap kemampuan kerajaan dalam usaha mengembalikan negara dan negeri ini ke landasan seperti mana yang telah dijanjikan.

Katanya tanggapan dan harapan rakyat kepada kerajaan terlalu tinggi selain berkata tiada pihak yang boleh menyalahkan mereka yang mahu melihat impak positif kesan daripada tindakan kerajaan.

“Atas kesedaran itulah mengapa kerajaan baharu ini mengambil sikap berlapang dada untuk menerima teguran daripada mana-mana pihak sekali pun.

“Pihak media bebas mengkritik serta melaporkan apa saja berita yang dirasakan penting untuk pembangunan negara sementara di Perak ini pula, kerajaan negeri mengamalkan ‘flat line management’ di mana sesiapa juga boleh berjumpa dengan Menteri Besar untuk menyampaikan pendapat atau pandangan,” katanya.

Jelas Ahmad Faizal semua pihak harus faham segala kekangan yang dihadapi kerajaan masa kini dalam usaha membina semuala negara dan negeri ini.

“Hakikat betapa kita sedang membina semula negara dan negeri yang telah terpesong haluannya sebelum ini, wajar difahami. Bak kata pepatah membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019, di sini, hari ini.

Dalam pada itu ujar Ahmad Faizal kerajaan negeri sentiasa komited dalam melaksanakan semua janji yang telah dibuat dalam tempoh lima tahun semenjak mengambil alih pentadbiran pada Mei 2018 yang lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");