Berita Hari Ini

Daftar Pengundi Secara Automatik Jimat Tenaga, Masa

PUTRAJAYA: Pendaftaran pengundi berusia 18 tahun secara automatik dianggap baik kerana dapat mengelak seseorang yang baru mempunyai kesedaran untuk mengundi pada pilihan raya daripada terlepas berbuat demikian kerana tidak mendaftar.

Pada masa sama, ia menjimatkan tenaga kerja dan belanja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta parti politik yang selama ini terpaksa turun padang bagi mendaftarkan pemilih.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) yang juga pensyarah kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata sistem itu juga memudahkan rakyat kerana tidak perlu ke SPR atau Pejabat Pos atau mana-mana ejen lain untuk mendaftar sebagai pemilih.

“Selain itu, keselarasan maklumat antara data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR dapat meningkatkan ketepatan daftar pemilih, terutamanya berkaitan kemas kini data perubahan umur yang melayakkan untuk mengundi, data kematian, data perubahan alamat dan seumpamanya.

Namun kebaikan ini tertakluk kepada tahap ketelusan, kewibawaan dan kecekapan JPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selama ini data pemilih diuruskan oleh SPR selaku badan bebas mengendalikan pilihan raya, yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan daftar itu tepat, telus, lengkap, bersih dan terkini.

“Dengan pendaftaran automatik, SPR boleh ‘lepas tangan’ dan meletakkan sebahagian besar tanggungjawab pengurusan daftar pemilih kepada JPN. Perlu diingat JPN adalah salah satu badan eksekutif yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketelusan dan kewibawaan JPN dalam pengurusan data warganegara pernah menjadi pertikaian berkaitan skandal membabitkan JPN yang mendaftarkan warga asing secara besar-besaran tanpa mengikut saluran undang-undang yang betul.

Selain itu, secara tidak langsung, sebenarnya usaha pendaftaran pemilih yang dilakukan selama ini adalah sebahagian dari proses pendidikan pengundi atau voters’ education’.

“Ramai yang tidak peduli soal mengundi kerana bermacam-macam sebab. Kelompok ini tetap tidak akan mengundi walaupun nama mereka didaftarkan secara automatik.

“Dengan ketiadaan kempen daftar dan proses pendaftaran di tempat awam, peluang untuk mengubah sikap negatif ini semakin berkurangan. Tidak mustahil jumlah yang turun mengundi selepas pendaftaran automatik akan berkurangan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Fathi mengemukakan beberapa pelan tindakan bagi memastikan proses itu lancar, telus dan berkesan tanpa menjejaskan amalan pilihan raya yang bebas lagi adil.

Antaranya, kerajaan perlu meningkatkan tanggungjawab ketelusan dan kecekapan JPN dalam menguruskan daftar warganegara, selain melaksanakan kempen pengundian secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh.

“Proses pendaftaran warga asing sebagai warganegara perlu dilaksanakan secara telus dengan syarat yang ketat, hak untuk membantah dan mempertikaikan daftar pemilih dikekalkan dengan penurunan yuran bantahan bagi meningkatkan ketelusan serta kewibawaan SPR.

“Pihak JPN boleh dipanggil untuk memberi penjelasan dan keterangan dalam prosiding bantahan senarai pemilih manakala parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menggiatkan kempen kesedaran politik dalam kalangan rakyat,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan setuju golongan muda berumur 18 tahun berhak mengundi dan mereka akan didaftar sebagai pengundi secara automatik.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");