Berita Hari Ini

Erdogan Mahu Banyak Lagi Syarikat Malaysia Labur di Turki

ANKARA, TURKI: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mempelawa lebih banyak syarikat Malaysia melabur di negara itu, terutama dalam industri pertahanan.

Beliau yang menyifatkan Malaysia sebagai negara sahabat, mahu hubungan itu terus diperluas, terutama bagi meningkatkan dagangan dua hala.

“Saya mahu melihat dan menyasarkan nilai dagangan antara Turki dan Malaysia mencecah AS$5 bilion (RM20.6 bilion),” katanya dalam sidang akhbar bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sini petang semalam.

Sebelum itu, dua tokoh pemimpin negara Islam berkenaan mengadakan pertemuan empat mata, diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Turki di Kompleks Presiden di Ankara.

Pada 2018, jumlah dagangan antara kedua negara mencatat RM9.79 bilion. Eksport Malaysia mencecah RM7.97 bilion, manakala import dari Turki RM1.82 bilion.

Turki ialah rakan dagangan Malaysia ketiga terbesar dari Asia Barat, manakala untuk Turki, Malaysia rakan dagangan terbesar di negara ASEAN.

Kelmarin, Dr Mahathir meluangkan masa meninjau industri pembuatan helikopter tempur dan dron di Turkish Aerospace Industries (TAI), Ankara.

Erdogan berkata, lawatan Dr Mahathir ke sini akan memberi peluang untuk meningkatkan pelaburan, selain dua negara sudah ada perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Kita akan memperluaskan lagi kerjasama dan pelaburan dalam sektor pelancongan dan saya harap, untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam semua sektor pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, katanya, kedua-dua negara juga mempunyai pendirian sama seperti dalam isu Palestin dan Rohingya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");