Perak Hari Ini

Isu Kereta Baharu Exco Kecohkan Seketika Sidang Dun Perak

IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak pagi tadi kecoh seketika apabila isu pembelian kereta Toyota Camry baharu kepada barisan Exco kerajaan negeri dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pembangkang.

Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN- Changkat Jering) meminta pihak kerajaan menjelaskan sama ada perkara tersebut adalah sebagai salah satu langkah penjimatan kerajaan negeri atau sebaliknya.

Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi yang menjawab bagi pihak Menteri Besar berkata keputusan pembelian kenderaan baharu itu selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kos jangka hayat kenderaan rasmi sebelum ini dan kos penyelenggaraannya.

Katanya harga pasaran bagi sebuah Toyota Camry bernilai RM190,000 namun kerajaan negeri hanya membelinya dengan harga RM109,000.

Jelasnya kenderaan tersebut mempunyai jaminan baru dengan had usia 5 tahun ‘unlimited mileage’ serta servis pertama dan kedua percuma.

Tambahnya setiap kerosakan alat ganti kenderaan rasmi tersebut hanya akan diganti oleh pihak pembekal tanpa sebarang caj dalam tempoh jaminan tersebut, tertakluk terma dan syarat pembekal.

“‘Mileage’ kereta rasmi saya sebelum ini hampir 300,000 kilometer dan begitu juga kenderaan Exco Kerajaan Negeri yang lain.

“Berdasarkan rekod daripada Pejabat Kewangan Negeri, jumlah penyelenggaraan pada tahun lalu berjumlah RM1 Juta.

“Ini belum diambil kira faktor kebolehharapan atau kepercayaan kepada kenderaan tersebut sama ada boleh sampai ke destinasi atau tidak.

“Ada beberapa insiden yang mana wayar kereta rasmi Exco terbakar, ada yang tersadai di bengkel selama sebulan malah ada kenderaan yang tiba-tiba berhenti di tengah jalan,” katanya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Ahmad Saidi kemudian bangun bertanyakan soalan tambahan dengan meminta pendirian kerajaan negeri dalam menggunakan kenderaan asing berbanding kenderaan nasional.

Jawab Asmuni (PH- Manjoi) Proton juga kini dimiliki oleh syarikat daripada China dan ia bukan kenderaan nasional secara sepenuhnya.

“Proton bukan Malaysia punya. China punya. Bukan kita punya pun. Toyota Camry pun syarikat luar punya.

“Selalu orang bertanyakan soalan ini. Saya kata taraf proton bukan kenderaan nasional. Ia sudah dimilik syarikat luar. Jadi kita juga melihat pelbagai aspek seperti keselamatan dan sebagainya,” katanya sebelum keadaan dewan kecoh seketika dalam dua minit.

Datuk Abd Manaf Hashim (BN- Pengkalan Baharu) mencelah dengan mengutarakan pertanyaan berapakah saham yang dimiliki oleh syarikat daripada China terhadap Proton.

“Proton bukan kereta nasional? China ‘owned’ berapa peratus saham Proton,” katanya.

Keadaan dewan kemudiannya ditenangkan Timbalan Speaker Dun Perak, Aminuddin Zulkipli.

Terdahulu dalam sesi yang sama, Asmuni berkata sehingga 4 Julai yang lalu, penyata hutang awam kerajaan negeri berjumlah RM255.8 juta berbanding RM313.3 juta pada Disember 2018.

Katanya kerajaan negeri komited dalam memastikan hutang kerajaan negeri dapat berkurangan dari semasa ke semasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");