Berita Hari Ini

Keluarga Murid Terjatuh Lantai Bas Sekolah Cadang Saman Pihak Bertanggungjawab

MACHANG -Sungguhpun reda dengan pemergian anaknya yang maut terjatuh dari lantai bas sekolah, ibu mangsa Nik Hasmani Mohamed akan meneruskan hasrat untuk menyaman pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu yang berlaku pada 4 Julai lalu di Kampung Kandis, Pasir Puteh.

Nik Hasmani, 44, berkata sehingganya kini keluarga itu masih menunggu keputusan laporan perubatan terhadap anaknya, Allahyarham Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12.

“Saman itu kita akan failkan tetapi selepas melihat keputusan laporan yang dibuat hasil siasatan polis.

“Sekiranya berlaku kecuaian dalam kes ini sehingga mengakibatkan kematian, kami sekeluarga akan meneruskan hasrat menyaman dan melantik peguam,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di Taman Desa Bakti, Machang di sini.

Atas sebab itu, Nik Hasmani memohon supaya siasatan menyeluruh dijalankan dalam kadar segera berhubung kejadian yang menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu.

Menurutnya, beberapa pihak terbabit, antaranya penganjur iaitu Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jabatan Pendidikan Negeri yang memberi kebenaran dan syarikat pengusaha bas perlu memberi kerjasama dengan polis berhubung kes tersebut.

“Kami sabar menanti keputusan siasatan dan ingin tahu punca kejadian, masalah bas dan kenapa tiada orang dewasa yang menjadi pengiring di dalam bas ketika kejadian.

“Tindakan mahkamah terhadap pihak berkaitan perlu diambil bertujuan tidak mahu kejadian sama berulang sekiranya berlaku kecuaian,” katanya.

Bukan tidak reda dengan pemergian satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya, namun kata Nik Hasmani, kehilangan di atas kecuaian orang lain itulah mendorong mereka mengambil tindakan mahkamah.

Nik Hasmani berkata, selama 11 hari kehilangan anak keempat tersebut, dia bersama suami, Mohd Suria Ismail, 46 dan anak-anaknya, Wan Nurfazleen Amirah, 22, Wan NurFazreen Athirah, 18 dan Wan Nurfaresya Amanda, 15, masih lagi sedih atas kehilangan tersebut.

Mohd Suria berkata, anak lelakinya adalah anak yang berdikari di rumah dan di sekolah pula, dia menjadi Pengawas yang terkenal aktif dari kelas 6 Beta di Sekolah Kebangsaan Tok Bok.

“Asalkan ada pertandingan, dia akan sertai tidak kira sukan atau seni, dia sendiri yang berminat dengan bersungguh-sungguh, selain dia cemerlang dalam akademik.

Sementara itu, Wan Nurfazleen Amirah berkata, adik bongsunya gemar membela haiwan termasuk arnab, kura-kura, ikan dan burung.

“Sebelum Adam tiada, arnabnya baru sahaja beranak, mula-mula empat ekor, kemudian enam ekor, tetapi empat ekor mati sebab sangkar diceroboh anjing semasa kami ke Perak semalam.

“Dia (arwah) sempat berikan nama arnab warna putih ini dengan panggilan ‘Donde’…. Betapa banyaknya kenangan dia bersama arnab dan beri makan burung sebaik pulang dari sekolah sambil menyiapkan kerja sekolah di taman mini ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");