Berita Hari Ini

Kerajaan letak KPI pada syarikat telekomunikasi

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) meletakkan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) kepada semua syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini untuk bertindak menyelesaikan aduan pelanggan.

Mengakui perkhidmatan jalur lebar di kawasan luar dan pinggir bandar masih lemah, menterinya, Gobind Singh Deo, berkata perkara itu dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah aduan pengguna.

Menurut beliau, usaha penambahbaikan perlu dilakukan termasuk mewujudkan sistem menangani setiap aduan dan diselesaikan dalam masa ditetapkan.

“Apa yang penting adalah kita perlu menambah baik sistem bagi menangani setiap aduan dikemukakan.

“Ia bukan sekadar membekalkan perkhidmatan yang murah dan laju malah telco ini perlu juga memastikan segala aduan diselesaikan dalam masa ditetapkan,” katanya.

Menurut Gobind, perkara itu yang akan diberi penekanan dan KKMM dalam proses melihat bagaimana sesuatu telco boleh memastikan semua aduan ini diatasi dalam masa singkat.

“Kita letakkan KPI,” katanya.

Gobind berkata demikian selepas merasmikan pejabat baru Pos Malaysia Batang Kali dan Majlis Mesra Aidilfitri yang turut dihadiri Pengerusi Pos Malaysia Bhd Yasmin Mahmood di pekarangan bangunan itu di Bandar Baru Batang Kali siang tadi.

Sebelum itu beliau diminta mengulas masalah penembusan jalur lebar di kawasan luar bandar yang disuarakan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).

Menurut sistem aduan kualiti liputan CFM, sebanyak 390 aduan pengguna tidak berpuas hati mengenai kualiti Internet di pinggir bandar telah diterima sehingga Mei tahun ini manakala sebanyak 387 aduan mengenai perkara sama dilaporkan sepanjang tahun lepas.

Dalam pada itu Gobind berkata, KKMM berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan yang disediakan Pos Malaysia selaku pemain industri pos, kurier, logistik serta e-dagang di negara ini.

Menurut beliau, Pos Malaysia mempunyai kira-kira 8,000 penghantar surat yang komited menghantar dokumen dan bungkusan membabitkan kira-kira tiga juta alamat setiap hari.

Kejayaan itu didukung keupayaan logistik darat, udara dan air demi keselesaan serta kemudahan rakyat.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");