Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Akan Selesaikan Isu Tanah Pekebun Di Tambun Dengan Bersyarat

IPOH: Kerajaan Perak akan cuba berusaha untuk membuat program pemutihan di kawasan Tambun agar pekebun yang telah mengusahakan tanah kerajaan untuk pertanian diberikan hak untuk menyewa tanah tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ia sebagai langkah kerajaan negeri dalam memastikan kehijauan dan aktiviti pertanian khususnya aktiviti penanaman Limau Tambun kekal di kawasan tersebut.

Katanya dalam usaha tersebut juga, beliau akan meletakkan beberapa syarat kepada pekebun yang telah meneroka lebih kurang 143 ekar tanah kerajaan di situ.

“Antara syarat yang kita tetapkan ialah jika hasrat para pekebun bahawa tanah di sini hanya sesuai untuk tanaman Limau Tambun sahaja, maka jangan libatkan tanaman lain selain daripada Limau Tambun yang sinonim dengan kawasan ini.

“Kedua, kita juga perlu membuat audit terhadap penggunaan tanah oleh para pekebun ini. Jika tidak dibuat, Masalah dengan isu tanah ini, apabila kerajaan nak buat pemutihan, nanti kita bimbang tiba-tiba ada orang ‘claim’ itu tanah mereka dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan persatuan pekebun di Tambun dalam menyelesaikan isu tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Ramah Mesra Antara Persatuan Pekebun Buah Limau Tambun Dengan Pemimpin di Pusat Komuniti Parlimen Tambun, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan menyerahkan tanah yang terlibat program pemutihan itu kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

“Saya akan mencadangkan kepada PPPNP untuk membuat permohonan tanah kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Apabila kerajaan negeri meluluskannya, PPPNP saya akan arahkan untuk berbincang dengan persatuan dan pekebun di sini.

“Saya akan minta jika boleh ia dapat disewakan dalam jangka masa panjang. Sekurang-kuranya 30 tahun. Dan ini akan memudahkan proses para pekebun untuk membuat pinjaman bank dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu katanya proses untuk mengadakan program pemutihan tersebut mungkin memakan sedikit masa kerana katanya terdapat sebahagian tanah di Tambun telah dimiliki pihak lain dan parti politik tertentu.

Selain itu ujarnya terdapat juga sebahagian daripada kawasan yang terlibat telah diwartakan bagi tujuan pembangunan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");