Perak Hari Ini

Pembangkang, Mantan PM Jangan Cuba Adu Domba – MB Perak

IPOH: Pihak pembangkang diminta untuk tidak cuba mengadu-domba antara petani di Chemor dengan pihak kerajaan berhubung isu pemberian notis 14 hari pengosongan tanah pertanian yang diusahakan berikutan tanah berkenaan yang dihadiahkan kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengulangi kenyataan dengan berkata bahawa kerajaan negeri telah menyelesaikan isu tersebut menerusi pemberian tanah pertanian yang lain di kawasan yang sama di Tanah Hitam.

Beliau merujuk kepada posting Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengulas isu berkenaan di laman sosial Facebook pada 25 Julai lalu.

“Kerajaan sudah jumpa awal. Sudah selesaikan awal. Dan apabila ia selesai, barulah kita beri tanah itu kepada pemain bola sepak.

“Hari ini, pihak lain seperti mantan Perdana Menteri dalam media sosial dia nak adu-domba. Ia tidak perlu dibuat kerana ia telah diselesaikan oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan bukan Barisan Nasional (BN).

“Selama berpuluh tahun mereka duduk di situ dan kerajaan BN memerintah 60 tahun. Pernah tidak pergi berjumpa selesaikan masalah itu?

“Kita berjaya menyelesaikan masalah mereka dan pembangkang pula cuba supaya penduduk bergaduh dengan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Ramah Mesra Antara Persatuan Pekebun Buah Limau Tambun Dengan Pemimpin di Pusat Komuniti Parlimen Tambun, di sini, hari ini.

Baru-baru ini tujuh orang petani dari Chemor mendakwa kerajaan negeri mahu mengambil kembali tanah yang mereka telah usahakan lebih 40 tahun selain mempersoalkan notis pengosongan tanah selama 14 hari.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata tiga hari sebelum isu tersebut timbul, kesemua petani yang terlibat telah hadir ke pejabat beliau dan bersetuju dengan keputusan kerajaan.

“Mereka sudah setuju dan sudah selesai. Selepas mereka pulang, ada pihak pembangkang cuba mengambil kesempatan dan sengaja politikkan isu ini supaya penduduk lawan kerajaan.

“Saya nasihatkan kepada pembangkang jangan terlalu hendak mempolitikkan isu ini. Ia melibatkan pemain bola sepak Perak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");