Panasnya Hari Ini

KPN Tidak Akan Tunduk Desakan Selesai Kes Video Lucah

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, menegaskan tidak akan sesekali tunduk terhadap tekanan mana-mana pihak berhubung siasatan kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang ahli politik.

Beliau berkata siasatan sentiasa berpaksikan kepada ketelusan dan prosedur operasi standard (SOP) polis yang bersifat adil tanpa melindungi pihak tertentu.

“Polis sedar wujud tekanan yang mahu siasatan kes disegerakan. Ada yang mendesak untuk diberikan tempoh masa selesaikan kes. Tidak semudah itu untuk disiasat dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

“Ia bukan dalam ketentuan kita. Apa yang saya boleh kata, siasatan sedang aktif dijalankan, malah ada tangkapan sudah dibuat untuk bantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Bicara Politikonomi yang disiarkan RTM melalui TV1, malam tadi, lapor BH Online.

Ketika ditanya ketulenan video lucah itu, Abdul Hamid berkata beliau tidak diberi kuasa undang-undang untuk mengesahkan ketulenan video atau identiti pelaku.

“Itu bukan tanggungjawab polis, kita ada SOP dalam jalankan siasatan.

“Sebarang bukti akan jadi subjek dalam perbicaraan sekiranya ia dibawa ke mahkamah. Saya tidak boleh memandai-mandai dalam perkara itu,” katanya.

Katanya, selagi belum didapati bersalah, semua pihak tidak boleh mengambil pendirian subjudis dan prejudis berhubung isu berkenaan.

“Dalam konteks PDRM, kita ambil pendirian untuk tidak melindungi kepentingan sesiapa pun. Orang ramai perlu faham, bila kertas siasatan lengkap, ia akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. Masanya akan tiba,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid mengakui wujud masalah teknikal dalam proses membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini.

“Ketika ini, ada masalah teknikal sedikit. Bagaimanapun, kita sedang giat berunding dengan negara berkaitan yang menjadi lokasi persembunyian Jho Low.

“Jho Low adalah seorang penjenayah, beliau harus pulang menghadapi proses perundangan negara ini,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan ahli perniagaan itu tidak akan menjadi mangsa penganiayaan selepas pulang ke negara ini.

“Menjadi tanggungjawab polis bahawa tidak ada penganiayaan (selepas Jho Low pulang),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");