Berita Hari Ini

Mahkamah Jelaskan Kenapa Ibu Diarah Serah Anak Pada Bapa Beragama Buddha

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan berkata ia memberikan hak penjagaan penuh 2 beradik kepada bapa yang beragama Buddha kerana ibu yang beragama Islam mendahulukan kepentingan peribadi mengatasi mereka.

Mahkamah ketika menjelaskan keputusan mengenepikan perintah penjagaan yang memihak kepada ibu berkata, dia pernah melanggar perintah persetujuan Mahkamah Tinggi sebelum prosiding perceraian bermula.

Katanya, wanita itu membawa 2 beradik itu ke masjid dan merancang untuk mendaftarkan mereka ke sebuah sekolah agama, walaupun kedua-dua pihak dalam perintah persetujuan itu bersetuju kanak-kanak itu tidak akan dipengaruhi untuk memeluk agama lain sehinggalah mereka mencecah umur dewasa.

Penjelasan itu dinyatakan dalam penghakiman bertulis yang disediakan di dalam talian.

Wanita itu memeluk agama Islam pada Disember 2015 ketika dia dan suaminya ketika itu sedang bercerai. Dia menukar agama anak-anaknya itu pada Mei 2016.

Wanita itu memperoleh hak penjagaan penuh ke atas anak-anaknya pada April tahun lepas di Mahkamah Tinggi Shah Alam, tetapi Mahkamah Rayuan memberikan hak penjagaan pada bapa.

Lelaki itu juga memenangi kes membatalkan penukaran agama anak-anaknya. Dia mendakwa ibu mereka menukar agama anak-anaknya dengan niat untuk mendapatkan hak penjagaan.

Rayuan oleh ibu dan pendaftar muallaf Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadap pembatalan penukaran agama 2 beradik itu akan didengari pada 29 Oktober.

Dalam penghakiman bertulisnya, Mahkamah Rayuan menyebut tentang kejadian di mana ibu mereka tidak pedulikan keselamatan salah seorang anaknya.

Katanya, anaknya yang tua hilang pada Jun tahun lepas selepas wanita itu menunaikan solat. Anaknya itu berjalan pulang ke rumah bapanya pada waktu malam dalam keadaan takut dan menangis.

Mahkamah juga berpendapat pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi yang mendengar petisyen perceraian terkhilaf dalam keputusannya apabila mendapati bapa mereka tidak boleh menjaga mereka kerana dia perlu menguruskan 2 syarikat.

Katanya, lelaki itu adalah pengarah sebuah syarikat dan sebuah lagi syarikat, yang disebutkan oleh wanita itu dalam keterangannya, sudah ditutup.

Peguam, Rohani Ibrahim, yang mewakili wanita itu berkata, Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan untuk membenarkan rayuan terhadap pemberian hak penjagaan pada bekas suaminya pada Khamis.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");