Perak Hari Ini

NIOSH Minat Buka Kampus Baru Di Perak

IPOH: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berminat untuk mengembangkan operasinya di Perak ekoran sambutan menggalakkan daripada pihak industri dan sektor awam.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata pembangunan pesat di Perak dan wilayah utara telah mendorong NIOSH untuk mencari tapak yang sesuai untuk kampus baru di negeri ini selepas satu pejabat cawangannya di Manjung yang dibuka pada tahun 2017.

“Perak mempunyai pelbagai jenis industri yang memerlukan latihan dan perkhidmatan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) malahan dengan adanya kampus tetap dan lebih besar, kami dapat memberikan perkhidmatan kepada sektor swasta dan awam dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Semalam, Lee telah mengetuai delegasi NIOSH untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Semasa pertemuan itu, Lee berkata Ahmad Faizal telah mencadangkan beberapa lokasi sesuai untuk kampus NIOSH Perak termasuk di Bukit Merah, yang mana lokasi tersebut mudah diakses dari Lebuhraya Utara-Selatan dan hampir dengan Taman Perindustrian Kamunting dan kawasan perindustrian lain di Pulau Pinang dan Kedah.

“Kami amat bersyukur dengan sokongan kuat yang diberikan menteri besar dan NIOSH akan menghantar cadangan lengkap kepada kerajaan negeri tidak lama lagi,” katanya.

Lee berkata pejabat cawangan NIOSH di Manjung juga akan diperluaskan bagi menampung permintaan industri dan pelbagai agensi kerajaan di kawasan sekitarnya.

Sejak dibuka pada bulan Januari 2017, pejabat cawangan NIOSH di Manjung telah melatih 9,813 peserta di bawah 443 program latihan termasuk penyelia keselamatan tapak pembinaan, bekerja dalam ruang terkurung serta di tempat tinggi.

Anak syarikat NIOSH, NIOSH Certification Sdn Bhd juga telah membantu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Perak dan Majlis Daerah Manjung, Kampar dan Tanjung Malim untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS) manakala beberapa syarikat perladangan di Perak telah menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO).

Selain daripada ibu pejabatnya di Bandar Baru Bangi, NIOSH turut mempunyai pejabat wilayah di Johor Bharu, Pulau Pinang, Kerteh, Bintulu dan Kota Kinabalu serta sembilan pejabat cawangan di seluruh negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");