Berita Hari Ini

Perhilitan Sahkan Kematian ‘Awang Besul’

SUNGKAI: Harimau Belang yang ditangkap di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi Daerah Dungun, Terengganu telah disahkan mati.

Menurut Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), harimau Malaya itu mati semasa berada di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC).

Punca kematian masih belum ditentukan. Walau bagaimanapun berdasarkan ujian darah, semalam, harimau yang dinamakan”Awang Besul” itu didapati positif “Virus Canine Distemper”.

Penyakit itu dikatakan menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau hidupan liar lain termasuk spesies harimau dan jika penyakit ini terkena pada harimau ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis.

“Pihak Jabatan tidak menolak kemungkinan Canine Distemper yang dihadapi Awang Besul disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besul lama, Bukit Besi, Dungun Terengganu.

“Pemantauan rapi di NWRC pada 20 hingga 23 Julai lalu menunjukkan terdapat tanda-tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan tanda klinikal jangkitan saluran pernafasan iaitu nasal discaj,” kata Perhilitan.

Menurut jabatan itu, ketika ditangka pada 19 Julai lalu, harimau itu mengalami kecederaan pada bahagian kaki, keradangan mata dan dalam keadaan dehidrasi.

“Setelah pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkan Awang Besul dijalankan, dukacita dimaklumkan pada 23 Julai (hari ini), lebih kurang jam 5.30 pagi, Awang Besul telah disahkan mati di NWRC oleh doktor veterinar Jabatan Perhilitan dan post mortem akan dijalankan secepat mungkin,” kata jabatan itu.

Mengenai harimau lain yang dilihat di Kampung Besul Lama pada 18 Julai, Perhilitan berkata ia sedang memantau kawasan tersebut dan memasang perangkap harimau.

Sehubungan itu, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menyeru orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan Perhilitan dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika terserempak dengan harimau tersebut.

Harimau Malaya adalah spesies yang semakin pupus, dengan anggaran kira-kira 200 ekor haiwan itu masih meronda di hutan-hutan di negara ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");