Berita Hari Ini

Pindaan Akta 466 Turut Meliputi Industri Lain Selain Pekerja Estet

PORT DICKSON – Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) akan membolehkan bukan sahaja pekerja estet menerima kemudahan kesihatan dan keselamatan lebih baik, bahkan turut diperluaskan kepada pekerja industri yang lain.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata melalui pindaan akta itu, majikan yang memilih untuk menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja perlu menepati piawaian yang ditetapkan dan jika gagal dipatuhi, mereka boleh didenda.

“Sekarang melalui pindaan akta itu akan mengawal standard minimum perumahan dan kemudahan pekerja. Sebelum ini Akta 446 hanya mengawal kemudahan penginapan untuk pekerja di estet tapi pindaan yang dibentangkan di Parlimen pada sesi ini di bawah Kementerian Sumber Manusia akan memperluaskan lagi akta itu bukan setakat dari segi kemudahan untuk pekerja estet tetapi juga kepada pekerja industri yang lain.

“Ini juga memerlukan syarikat membekalkan kemudahan penginapan secara berpusat, ia akan memerlukan mereka mengikut piawaian dari segi standard. Kemudahan bukan sahaja dari segi fizikal bahkan keperluan untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada pekerja di situ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan ‘Seminar Perubatan Terkini Untuk Pembantu Perubatan Ladang’ di sini yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Bahagian Jawatankuasa Kesihatan Perladangan Dr Edmond Fernandez dan Presiden Persatuan Pembantu Hospital Ladang-Ladang Malaysia P. Naggapan.

Ketika ini, akta itu hanya diguna pakai untuk sektor perlombongan dan pertanian.

Rang undang-undang itu yang dibentangkan di Parlimen dua hari lepas bertujuan meluaskan liputan akta sedia ada kepada semua sektor.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata sekiranya ia diluluskan, Pembantu Perubatan di Ladang memainkan peranan penting bukan sahaja memberikan rawatan pencegahan penyakit-penyakit berjangkit sebaliknya perlu turut memastikan tempat kerja dan penginapan pekerja selamat serta bersih.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai penularan wabak Influenza, beliau berkata setakat ini ia dalam keadaan terkawal di seluruh negara.

“Bagaimana pun kita akan teruskan pemantauan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lapan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) disahkan menghidap influenza B dengan seorang daripadanya positif influenza A manakala wabak Influenza Like Illness (ILI) di Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 168 kes daripada Januari hingga 6 Julai lepas.

Sementara itu, seminar dua hari yang bermula semalam bertujuan memberi pendedahan mengenai perubatan terkini, dihadiri seramai 70 pembantu perubatan di ladang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");