Panasnya Hari Ini

Serah SPRM Siasat EXCO Perak – Anwar

ALOR GAJAH: PKR menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan seorang EXCO kerajaan Perak yang didakwa terbabit dalam amalan rasuah serta salah laku.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagaimanapun sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklumat lanjut mengenai perkara itu termasuk daripada pihak yang melaporkan perkara itu.

“Kita serah kepada SPRM. Dia ada dua isu iaitu tuduhan rasuah dan kebocoran minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), jadi kita serah kepada siasatan.

“Bagaimanapun, saya belum ada apa-apa maklumat rasmi sama ada daripada yang melaporkan dan daripada yang didakwa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka di Pusat Perniagaan Gangsa, Durian Tunggal, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Yang hadir sama Pengerusi PKR Melaka, Halim Bachik dan Timbalan Pengerusi PKR Melaka, Gue Teck.

Semalam, Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean membuat laporan polis berhubung seorang ahli EXCO Perak yang didakwa membocorkan kertas minit mesyuarat MMKN.

Yong Kean mendakwa perkara itu dilakukan EXCO berkenaan bagi mendapatkan komisen dan habuan daripada syarikat pertanian.

Sementara itu, Anwar turut mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berhubung dakwaan ada ahli parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan didakwa menjadi dalang pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Muhamad Haziq Abdul Aziz dan seorang individu lain.

Anwar menggesa supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan polis.

“Ya, saya baca kenyataan Ketua Polis Negara. Kita tunggulah laporan lanjut. Kedua-dua isu sama ada video itu benar, bukannya rekaan. Dan kedua, siapa yang dalang, sebarkan itu pasti dalam siasatan polis.

“Jadi tak payahlah kita buat jangkaan (spekulasi) yang terlalu banyak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");