Sukan Hari Ini

Teliti Empat Nama

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya bakal tampil lebih ampuh pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 September ini apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk meluluskan permohonan dua pemain muda berdarah kacukan Malaysia dalam masa terdekat ini.

Walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum mahu mendedahkan identiti dua pemain itu secara rasmi, Arena Metro difahamkan tonggak berkenaan ialah Kobe Chong dan Armin Maier Rafi dengan masing-masing berpangkalan di England dan Jerman.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sedang meneliti segala dokumen dua pemain muda itu, selain dua calon naturalisasi iaitu Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

Bagaimanapun, kelibat Liridon dan De Paula hanya boleh dilihat mulai tahun depan selepas cukup tempoh lima tahun beraksi di negara ini seperti mana yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan perlembagaan fasal 15 A yang memberi kuasa pada menteri atas kes istimewa, Muhyiddin dijangka memberi lampu hijau buat pemain berkenaan menyarung jersi negara.

“Baru-baru ini FAM mengemukakan empat nama daripada pemain bukan warganegara bersandarkan syarat-syarat yang ditetapkan FIFA untuk minta supaya saya timbangkan mereka ini menjadi warganegara Malaysia.

“Sekiranya memenuhi syarat mengikut perlembagaan, mereka ini boleh bermain dalam pasukan kebangsaan dan juga insya-Allah Piala Dunia. Ini bukan satu perkara yang tidak munasabah.

“Saya sudah minta pegawai meneliti dan selepas itu mereka akan bawa kepada saya untuk saya pertimbangkan empat orang ini. Insya-Allah, kita akan beri perhatian yang agak baik untuk permohonan ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, malam kelmarin, lapor Harian Metro.

Kobe, 18, yang mempunyai darah campuran Malaysia-Jamaica memulakan karier bola sepak dengan menyertai akademi remaja kelab Inggeris, West Bromwich Albion pada musim 2010/12 sebelum menyertai Kidderminster Harriers selama dua musim dari 2014-2016.

Dia kemudian berpindah ke Itali untuk menyertai skuad bawah 17 tahun (B-17) Cagliari Calcio dan menghabiskan masa hampir setahun sebelum kembali pulang ke England pada musim 2018/19.

Sementara Maier, 21, yang lahir di Jerman dengan memiliki darah campuran Malaysia-Singapura pula pernah beraksi untuk FC Young Lions dan FC Kreuzlingen di Liga Switzerland.

Dia juga bekas pemain skuad B-20 dan B-22 Singapura, namun masih boleh menyertai skuad Harimau Malaya kerana belum pernah beraksi untuk skuad senior.

Ketika ini, Maier sedang beraksi bersama skuad Johor Darul Ta’zim II dalam saingan Liga Perdana. Dengan kelebihan mempunyai pertalian darah negara ini, kedua-duanya tidak mempunyai masalah untuk segera membantu skuad kendalian Tan Cheng Hoe khususnya kelayakan Piala Dunia pada September ini sekiranya KDN meluluskan permohonan dalam tempoh terdekat ini.

Untuk rekod, pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh adalah tonggak naturalisasi pertama negara, sementara beberapa pemain berdarah campuran turut mewarnai skuad kebangsaan antaranya Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan juga Khair Jones (Melaka United).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");