Berita Hari Ini

Tun M Tegur Golongan Tolak Ajaran Ilmu Sekular

PENGUASAAN akademik dunia Islam semakin menurun selepas golongan ulama kuno menolak pengajaran ilmu sekular.

Ketegasan itu disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata penolakan itu menyebabkan dunia Islam mula jatuh dan semakin lemah sehingga akhirnya dijajah oleh negara Barat.

“Mereka menjadi orang yang tidak mengetahui ilmu yang mengubah dunia. Mereka mula mundur, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan bertajuk ‘Pengetahuan’ selepas menerima anugerah Doktor Kehormat Sains Politik dan Pentadbiran Awam oleh Universiti Ankara Yildirim Beyazit, di sini semalam.

Dr Mahathir berkata, penolakan itu sama ada menerusi fatwa atau keputusan mengikut agama oleh ulama bahawa pengetahuan sekular seperti matematik dan sains sebagai tidak mempunyai merit untuk akhirat adalah tidak tepat.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri ia boleh menyebabkan masyarakat Islam terus ketinggalan.

Anugerah disampaikan rektor universiti berkenaan Profesor Doktor Ibrahim Aydinli dan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turki, Dr Yekta Sarac bertempat di bangunan Majlis Pengajian Tinggi Turki di Ankara.

Universiti Ankara Yildirim Beyazit yang ditubuhkan pada 2016 adalah institusi pengajian tinggi bukan berorientasikan keuntungan. Ia mengambil nama sempena sultan keempat dalam Dinasti Ottoman, Sultan Beyazid.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Majlis Pendidikan Tinggi Turki, Dr Mahathir diberi anugerah itu sebagai penghargaan atas peranan penting beliau berhubung kerjasama dalam pelbagai isu antarabangsa dan serantau, terutama kerjasama dengan negara Islam serta Kumpulan D8.

Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa meninjau industri pembuatan helikopter tempur dan dron di Turkish Aerospace Industries (TAI) di sini.

Perdana Menteri kelihatan terpegun melihat kepesatan teknologi aeroangkasa yang dibangunkan sepenuhnya oleh Turki.

Pihak TAI turut mempersembahkan demonstrasi penerbangan ala aerobatik helikopter tempur.

Dalam taklimat kepada Dr Mahathir dan rombongan, jurucakap pengurusan TAI memberitahu pihaknya mempunyai 10,000 kakitangan termasuk 4,000 jurutera dan pereka bentuk pesawat.

Katanya, pesawat buatan TAI empat kali ganda lebih murah daripada pasaran luar sambil mempelawa Malaysia untuk bekerjasama dari sudut teknologi yang diperlukan.

Dr Mahathir juga diberitahu bahawa semua peralatan digunakan untuk membangun pesawat dibuat sepenuhnya oleh Turki.

Antaranya membangun pesawat mirip Apache keluaran Amerika Syarikat, pesawat heavy class attack T129 dan pesawat tempur serta satelit komunikasi untuk dron.

Yang turut sama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking serta Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab.

Perdana Menteri memulakan program rasmi beliau di Turki dengan majlis meletak kalungan bunga di makam Mustafa Kamal Ataturk, pengasas yang juga Presiden pertama Turki, di Anitkabir di sini.

Perdana Menteri tiba di sini untuk lawatan rasmi empat hari ke Turki.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada jam 7.45 malam waktu tempatan (12.45 tengah malam kelmarin).

Beliau disambut di lapangan terbang oleh Saifuddin dan Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab; Menteri Industri dan Teknologi Turki, Mustafa Varank serta Gabenor Ankara, Vasip Sahin.

Kira-kira 15 minit kemudian, pesawat khas yang membawa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tiba di lapangan terbang yang sama, dan kedua-kedua pemimpin kemudiannya mengadakan pertemuan singkat di bilik VVIP lapangan terbang itu.

Malam tadi, Dr Mahathir mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan di Kompleks Presiden di sini, diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Turki.

Beliau diberi sambutan negara di Kompleks Presiden di sini, diiringi tentera berkuda iaitu kehormatan yang biasanya hanya diberi untuk Presiden dan Raja sesebuah negara.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara turut dimainkan.

Dr Mahathir dan Erdogan kemudian memeriksa kawalan keselamatan oleh Angkatan Tentera Turki termasuk yang berpakaian ala tentera kuno seperti bertopi besi dalam sejarah ketenteraan negara itu.

Sebaik tamat acara sambutan, Dr Mahathir dan Erdogan mengadakan pertemuan empat mata, diikuti mesyuarat delegasi.

Hari ini, Dr Mahathir berlepas ke Istanbul. Pesawat yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, lapangan terbang yang diurus dan ditadbir oleh Malaysia Airports Holdings Berhad, di mana Perdana Menteri juga dibawa meninjau lapangan terbang berkenaan.

Dr Mahathir akan menghadiri perbincangan Meja Bulat Peneraju Industri yang membabitkan kira-kira 35 syarikat utama Turki, dan kemudiannya beliau akan menghadiri majlis jamuan teh dengan diaspora Malaysia di Turki.

Lawatan rasmi Dr Mahathir ke Turki adalah atas jemputan Presiden Turki bertujuan meningkatkan hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Turki, di mana hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sudah terjalin sejak 1964.

Turki adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia.

Pada 2018, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan RM9.79 bilion. Eksport Malaysia ke Turki mencecah RM7.97 bilion sementara import dari Turki berjumlah RM1.82 bilion.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");