Berita Hari Ini

2 Penyelaras Himpunan Bantah Tulisan Jawi Dibebas Dengan Jaminan Polis

KUALA LUMPUR: Dua individu yang ditahan dalam perhimpunan membantah tulisan jawi untuk sekolah vernakular yang berlangsung di Brickfields semalam dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

K Umagandhan dari kumpulan pendidikan Naan Oru Tamilan ialah ketua penyelaras himpunan semalam, manakala Tan Boon Tak yang merupakan aktivis pendidikan Cina, ialah sebahagian daripada penyelaras himpunan itu dan berperanan sebagai penterjemah.

Peguam, Dinesh Muthal yang mewakili Umagandhan mengesahkan 2 lelaki itu dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan mereka.

“Keterangan yang mereka berikan selesai sekitar 12 tengah malam. Selepas itu barulah arahan untuk menahan mereka dikeluarkan. Mereka dibebaskan pada 1 tengah hari tadi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim dilaporkan berkata lelaki India berusia 34 tahun dan lelaki Cina berusia 67 itu ditahan kerana melanggar Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah serta Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

Hari ini, Dinesh berkata, himpunan semalam berlangsung secara aman tanpa sebarang vandalisme dan peserta himpunan bersurai seperti diarahkan penganjur.

“Kami dapat maklumat daripada polis tidak ada kebenaran diberikan pada tengah hari semalam. Kami hanya hadir ke himpunan malam tadi untuk meminta peserta himpunan bersurai kerana bimbang himpunan itu disabotaj pihak lain.”

Umagandhan berkata, fokus himpunan aman semalam mengenai pengenalan tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina yang tidak membabitkan isu pendakwah dari India, Dr Zakir Naik.

“Dalam memorandum yang ingin kami bawa, kami sudah jelaskan tidak ada langsung melibatkan isu politik, bahkan peserta juga tidak boleh pakai baju yang mempunyai logo parti politik.”

Katanya, beliau kesal dengan keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan jawi di semua sekolah tanpa berbincang dengan akar umbi dan badan bukan kerajaan mewakili masyarakat India.

“Dr Mahathir Mohamad sering kata isu ini hanya mendapat bantahan kecil dari masyarakat India dan Cina, tapi himpunan semalam kami ingin buktikan ia bukan lagi isu kecil bagi kedua-dua masyarakat ini.

“Kami mahu identiti sekolah vernakular kekal seperti sedia ada, iaitu belajar bahasa Melayu dalam tulisan rumi. Kami tidak setuju dengan tindakan Kementerian Pendidikan berunding dengan wakil masyarakat India yang dilantik, mereka tidak mewakili akar umbi masyarakat India.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");