Berita Hari Ini

Agong Tiba Di Indonesia Bagi Lawatan Negara Empat Hari

JAKARTA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tiba di sini bagi Lawatan Negara ke Indonesia bermula hari ini hingga 29 Ogos.

Pesawat khas membawa Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, di sini, pada kira-kira jam 11.20 pagi (waktu tempatan) dan diberi sambutan hamparan permaidani merah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal Dan Transmigrasi Republik Indonesia, Eko Putro Sandjojo selaku menteri pengiring, dan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar, serta Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana.

Yang turut mengiringi baginda dalam lawatan itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pegawai kanan Kementerian Luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Sejurus ketibaan, Seri Paduka kemudian melintasi barisan kawalan kehormat Pasukan Pengamanan Presiden terdiri daripada 21 anggota.

Lawatan Negara itu adalah lawatan sulung Al-Sultan Abdullah ke Indonesia sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.

Ia melambangkan keakraban dan keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Indonesia, sekali gus menyumbang ke arah mengukuhkan jalinan persahabatan kedua-dua negara yang terjalin sejak 62 tahun lalu.

Bagi memulakan lawatan itu, Seri Paduka berdua dijadual berangkat menghadiri Majlis Santapan Petang bersama 200 rakyat Malaysia, di sini, petang ini.

Pasangan diraja itu turut dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, bersama isterinya, Iriana Jokowi, di Istana Bogor, di sini, esok.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya dijadual berangkat ke Yogyakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X, serta melawat beberapa tempat bersejarah di sana. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");