Berita Hari Ini

Ahli Keluarga Remaja Ireland Enggan Diganggu

SEREMBAN: Ahli keluarga remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, dekat sini, kelihatan berang apabila dihampiri petugas media yang cuba menemu bual mereka.

Ketika didekati, seorang lelaki dipercayai bapa mangsa, memarahi petugas media yang cuba merakam gambar mereka dan meminta supaya tidak berbuat demikian.

“Jangan (merakam gambar). Bagaimana jika perkara ini terjadi pada keluarga kamu?” katanya sambil berlalu ke arah Gunung Berembun yang terletak berhampiran kawasan itu.

Terdahulu, lelaki terbabit bersama empat individu lain dipercayai ahli keluarga mangsa, diiringi seorang wanita tempatan dilihat berjalan keluar dari kawasan resort menghala ke arah Gunung Berembun sebelum terserempak sekumpulan petugas media, di sini.

Bagaimanapun, tujuan mereka ke sana tidak diketahui.

Nora Anne yang bermasalah lembam dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Ahad lalu, sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Namun, operasi SAR yang sudah memasuki hari keempat masih gagal mengesan mangsa, setakat ini.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata usaha mencari remaja itu berdepan kesukaran kerana jejaknya hanya dapat dikesan 100 meter dari lokasinya dilaporkan hilang.

Sementara itu, lebih 20 petugas media tempatan dan antarabangsa berkampung di jalan masuk resort terbabit sejak awal pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan semasa operasi SAR.

Beberapa kenderaan polis, termasuk Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dilihat memasuki lokasi pencarian.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan masuk dan hanya boleh menunggu di pintu masuk resort itu.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor, sebagai berkata polis akan mengadakan sidang media setiap hari bagi memberikan maklumat perkembangan operasi berkenaan lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");