Perak Hari Ini

Chong Wei Akui Simpan Impian Mahu Jadi Jurulatih

IPOH: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui ada menyimpan impian untuk menjadi seorang jurulatih bagi sukan tersebut pada satu hari nanti.

Malah katanya perkara tersebut juga ada dibincangkan antara Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas Chong Wei mengumumkan persaraannya dalam arena sukan badminton pada Jun lalu.

Walau bagaimanapun katanya beliau masih lagi memerlukan masa terhadap perkara tersebut selain menganggap menjadi seorang jurulatih bukan sesuatu yang mudah.

Katanya lagi, buat masa terdekat ini beliau ingin meluangkan masa bersama keluarganya.

“Mereka ada membincangkan perkara itu di hadapan saya namun saya katakan, saya berasa saya tidak sesuai untuk berada di posisi itu lagi.

“Tetapi mereka menyebut bahawa saya harus berbuat demikian kerana saya boleh memberi semangat kepada para atlet. Disebutkan juga yang saya tahu bagaimana untuk menghadapi pelbagai tekanan.

“Saya pada awalnya berdiam namun kemudian saya katakan yang saya akan melakukannya dengan terbaik.

“Kini saya sedang mempelajari dan menyesuaikan diri daripada menjadi seorang atlet kepada seorang pegawai,” katanya.

Tambah Chong Wei beliau juga sedang mahu memberi fokus kepada kerja-kerja amal menerusi yayasan beliau, Yayasan Lee Chong Wei.

Namun menurut pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu beliau juga masih lagi berhubung dengan BAM serta bekas-bekas jurulatihnya seperti Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan, dalam usaha memperkasakan lagi sukan badminton negara.

Sementara itu, ujar Chong Wei, beliau juga kini sedang bekerja keras bagi membantu para atlet negara dari segi motivasi dan semangat selepas beliau dilantik sebagai Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Jun lalu.

“Untuk tempoh ini semua sedang sibuk. Ia agak sukar bagi semua. Saya berharap agar semua atlet dapat terus memberikan fokus dan tidak mudah putus asa.

“Kita semua mahu ke Sukan Olimpik. Namun apa yang penting buat masa ini adalah bagi kita berjaya memperoleh tempat untuk beraksi nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Raket Yonex Astrox 99 LCW di Master Badminton Club (MBC) Klebang Putra, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh serta Adun Canning, Jenny Choy Tsi Jen.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");